Iklan

Penduduk kampung masih terkejut perkahwinan kanak-kanak 11 tahun

Gan Pei Ling6 years ago5th Jul 2018Berita
Gua musang child bride 20180704 tmihasnoor 013
Seorang penduduk kampung dan jururawat dilihat berada di depan rumah pengantin kanak-kanak berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan. Perkahwinan bawah umur itu menggemparkan seluruh negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 5 Julai, 2018.
Iklan

TERKEJUT, sedih dan malu.

Penduduk sebuah kampung di Gua Musang, Kelantan masih sukar menerima kekecohan yang timbul akibat pendedahan mengenai perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun baru-baru ini.

“Sudah tentu orang bercakap mengenainya. Tiada siapa gembira mengenainya. Ia memalukan,” kata seorang petani dari Thailand yang tidak mahu dikenali kepada The Malaysian Insight.

Pengantin kanak-kanak berusia 11 tahun itu tinggal di sebuah kampung di Gua Musang, bersempadan dengan Pahang, Perak dan Thailand, kira-kira tiga jam perjalanan dari Kota Baru.
 
Dia tinggal di sebuah rumah kayu kecil bersama ibu bapanya yang berketurunan Thailand, yang menetap di kampung itu kira-kira dua dekad lalu.

Penduduk kampung terdiri daripada peneroka tempatan dan pendatang Thailand yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah, pembantu gerai atau menjalankan perniagaan kecil.

Kelantan masih dianggap sebagai negeri paling miskin di negara ini. Pada 2016, pendapatan median bulanannya paling rendah bagi semua negeri pada kadar RM3,079. Ia jauh di bawah purata kebangsaan sebanyak RM5,228.

Perkahwinan bawah umur ini meraih tajuk berita antarabangsa apabila berita mendedahkan seorang peraih getah, 30 tahun lebih tua, menjadikan kanak-kanak perempuan itu sebagai isteri ketiganya pada Jun lalu.

Peraih getah itu sudah mempunyai dua isteri dan enam anak berumur antara lima hingga 18 tahun.

Menerima kecaman hebat daripada orang ramai, dia tampil mempertahankan diri dengan berkata hanya akan bersama isteri ketiganya itu lima tahun lagi.

Menurut laporan terdahulu, ibu bapa kanak-kanak itu bersetuju perkahwinan dengan peraih getah, yang merupakan penduduk Kelantan.

Bapa kanak-kanak perempuan berkenaan yang bekerja sebagai penoreh getah menjual hasilnya kepada lelaki itu.

Kini, mereka sekeluarga sudah menghilangkan diri.

Nur Hafizah, yang mengenali kanak-kanak itu, terkejut membaca laporan berita dia mula bercinta peraih getah ketika berusia tujuh tahun.

“Dia masih kanak-kanak. Dan dia berkawan baik dengan salah seorang anak kepada isteri pertama,” kata Nur Hafizah, 20, pembantu di sebuah kedai makan.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dua hari lalu pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur seks “grooming” sebelum perkahwinan itu.

Kanak-kanak itu pernah bersekolah tadika tetapi tidak memasuki sekolah rendah kerana keluarganya yang miskin, imbas Nur Hafizah.

“Dia masih belum matang. Masih suka main lari-lari,” katanya mengenai kanak-kanak itu.

“Sungguh menyedihkan,” kata Nur Hafizah sambil menambah beberapa gadis tempatan juga ada yang berkahwin awal tetapi hanya selepas berumur 17 atau 18 tahun.

Bekas pengetua sekolah Wan Mohammad Yusoff berkata penduduk kampung sudah mendengar berita mengenai perkahwinan sebelum berita itu diketahui ramai tetapi kebanyakannya tidak menyangka kemarahan awam yang begitu drastik.

“Kami tahu mengenainya sebelum ia menjadi tular,” katanya ketika ditemui di gerai makan yang menjadi tempat ibu kanak-kanak itu pernah bekerja.

Disebabkan serangan jantung awal tahun ini, ibu kanak-kanak itu bertindak menjual motosikalnya kepada Wan Mohammad untuk membayar kos rawatan perubatan di Thailand.

Ibu tiga anak itu pulih dan meneruskan kerja di gerai makanan lain.

Wan Mohammad berkata anak sulung keluarga itu berkahwin ketika berusia 15 atau 16 tahun.

Dia yang tinggal di Melaka kini menjadi ibu tunggal janda dan balik ke kampung berhari raya tempoh hari. – 5 Julai, 2018.

Iklan
Iklan