Kementerian Kesihatan mula tegas dengan projek hospital bermasalah
Iklan
SEMUA 23 kontraktor projek hospital dan klinik yang gagal disiapkan mengikut masa diberi amaran akan ditamatkan kontrak pembinaan, sama seperti kontraktor projek Hospital Petra Jaya di Sarawak, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Katanya, semua 23 projek itu – yang diistilahkan sebagai “sakit” – kini diletakkan dalam “zon merah” iaitu dalam perhatian serius pihak kementerian.
“Mana-mana projek ini yang sangat sakit (sangat lewat) setelah diberikan empat kali amaran kita akan ambil tindakan sama seperti di Petra Jaya.
“Saya akan turun padang dan melihat sendiri serta berjumpa dengan pemaju…jika masih gagal kami akan serahkan projek ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya pemberita selepas menghadiri Forum Penjagaan Kesihatan 2018 di Kuala Lumpur hari ini.
Jelas Dzulkefly, antara 23 projek itu termasuk sembilan buah hospital dan kebanyakan daripada projek-projek berkenaan ialah di Semenanjung Malaysia.
Beliau turut mendedahkan status 23 projek berkenaan sudah dibentangkan untuk perhatian Jemaah Menteri semalam, dengan fokus utama Kementerian Kesihatan sekarang pada Hospital Petra Jaya di Kuching.
Menurut Dzulkefly, beliau baru-baru ini mengadakan perbincangan dengan pihak yang terlibat di Kuching dan persetujuan dicapai untuk menamatkan kontrak projek di hospital itu.
“Kami telah bersetuju bahawa kita tidak boleh berlengah lagi dan kita memberi amaran kepada semua kontraktor yang kita tidak boleh menerima kerja-kerja yang teruk semacam ini, kerana ini melibatkan rakyat yang terjejas akibat kelewatan mereka,” tambah Dzulkefly.
Awal bulan ini Dzulkefly berkata beliau akan mencadangkan supaya kontrak pembinaan Hospital Petra Jaya yang menelan belanja RM495 juta yang dianugerahkan kepada Zecon Bhd ditamatkan.
Projek berkenaan dimulakan pada Mei 2013 dan sepatutnya siap pada November 2016.
Sebuah lagi projek yang disebut oleh menteri kesihatan itu ialah Hospital Rembau dan beliau berkata telah menemui kontraktor yang terlibat. – 5 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.