Iklan

Jawatankuasa monopoli bekalan ubat bertemu minggu depan, kata menteri

Asila Jalil6 years ago5th Jul 2018Berita
Iklan

JAWATANKUASA antara menteri bagi mengkaji dakwaan bahawa syarikat berkaitan politik menikmati monopoli ke atas bekalan ubat akan bertemu minggu depan untuk “menyusun dasar” sebelum bertemu dengan pihak berkepentingan luar, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali telah menetapkan mesyuarat itu pada minggu depan.

“Saya tidak mahu membuat andaian dalam perkara ini, namun kita perlu menyusun dasar kita terlebih dahulu,” kata Dr Dzulkefly kepada pemberita pada Forum Kesihatan 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

“Seperti yang anda ketahui, ia melibatkan beberapa isu yang sangat menyentuh dasar Bumiputera,” katanya.

Jawatankuasa Kabinet yang dipimpin oleh Azmin itu termasuk Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub.

Dr Dzulkefly berkata kajian komprehensif diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap monopoli dan matlamatnya adalah untuk mengelakkan peningkatan kos bagi pengguna.

Berikutan kekalahan Barisan Nasional, laporan menunjukkan bahawa syarikat yang dimiliki oleh ahli politik dari pentadbiran terdahulu telah menikmati monopoli pembekalan ubat.

Menurut laporan, kegiatan monopoli menyebabkan kenaikan kos ubat yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara. – 5 Julai, 2018. 

Iklan
Iklan