Iklan

Ibu tak restu anak kahwin budak 11 tahun

Gan Pei Ling6 years ago6th Jul 2018Berita
Gua musang child bride 20180704 tmihasnoor 016
Patsama Ismail mengakui sejak berita kontroversi perkahwinan itu tular, anaknya menjadi buah mulut penduduk kampung dan turut resah kerana tidak henti-henti dicari oleh wartawan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Julai, 2018.
Iklan

PATSAMA Ismail, ibu kepada lelaki berumur 41 tahun yang berkahwin dengan budak perempuan 11 tahun, berkata beliau tidak tahu-menahu hasrat anaknya menikah dengan budak bawah umur.

Kata Patsama, beliau tidak merestui perkahwinan anaknya itu.

“Biasanya budak perempuan kahwin lepas umur 15. Dia tu dah besar, tak mahu dengar kata,” kata wanita pemilik kedai runcit di Kampung Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan itu.

“Biar dia fikir sendiri,” katanya perlahan.

Sepanjang perbualan dengan The Malaysian Insight, anak-anak kecil masuk keluar kedainya membeli keropok dan gula-gula.

Menurut Patsama, anak lelaki sulungnya itu, Che Abdul Karim Che Abdul Hamid tidak memberitahunya atau ahli keluarga akan niatnya mahu mengambil budak 11 tahun itu sebagai isteri.

Beliau hanya tahu mengenainya daripada anak-anak yang lain, yang juga dapat berita tentang perkahwinan yang kini heboh jadi kontroversi itu melalui media sosial.

“Saya tak tahu pasal dia nikah. Adik-beradik dia kata orang marah di Internet,” katanya.

Patsama, 64, berkata beliau kenal budak 11 tahun yang tiba-tiba menjadi menantunya itu.

“Saya kenal. Pernah nampak tapi bukan selepas nikah tu.

“Mak dia pernah kerja dengan menantu pertama saya,” katanya.

Perkahwinan Che Abdul Karim dengan budak warganegara Thailand itu bulan lepas mengejutkan kampung yang damai ini dan mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat. Ia juga menyebabkan hidup isteri pertama dan kedua beliau dan anak-anak mereka jadi tidak menentu.

Kedua-dua isteri mengugut mahu minta cerai sekiranya beliau mahu meneruskan niatnya mengambil budak itu sebagai isteri ketiganya.

Che Abdul Karim, peraih getah yang juga imam kampung itu, mempunyai enam anak berumur antara lima hingga 18 tahun. Beliau mengahwini isteri pertamanya sejak dua dekad lalu.

Menurut Patsama, sejak berita kontroversi itu jadi tular, perkahwinan anaknya itu jadi buah mulut penduduk kampung. Beliau juga resah kerana tidak henti-henti dicari oleh wartawan.

“Sudah tentu saya bimbang. TV3 datang ke rumah hendak wawancara anak saya,” katanya, sebelum meminta diri untuk menguruskan kedainya. – 6 Julai, 2018.

Iklan
Iklan