Polis akan failkan inkues berhubung kematian Thaqif

Iklan
POLIS akan mengadakan inkues bagi menyiasat kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi walaupun laporan bedah siasat kedua mendapati punca kematian disebabkan oleh leptospirosis atau kencing tikus.
Ia berikutan tindakan keluarga Thaqif yang enggan menerima keputusan bedah siasat kedua dan menyatakan ia “tidak logik dan diragui”.
Mereka juga dilaporkan akan mendapatkan nasihat guaman untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Negara Noor Rashid Ibrahim berkata sekarang terdapat pertikaian mengenai punca kematian, polis akan memohon inkues itu tidak lama lagi.
Dia menambah polis berdepan kesukaran membuktikan dakwaan bunuh. Bagaimanapun, pihak polis akan memastikan inkues difailkan di mahkamah majistret.
“Semuanya sudah dilakukan, kami akan pastikan ada inkues,” katanya kepada pemberita pada program Rumah Terbuka Cawangan Khas di Bukit Aman hari ini.
Kes Mohamad Thaqif, 11 tahun mendapat liputan meluas media kerana laporan bedah siasat pertama menunjukkan terdapat bukti penderaan.
Tetapi, laporan bedah siasat kedua mendedahkan kematian pelajar itu berpunca daripada leptospirosis atau kencing tikus.
Pembantu warden sekolah berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan kerana terdapat laporan mendakwa dia memukul Thaqif menggunakan paip getah.
Dia yang memilik rekod jenayah samun kemudiannya dibebaskan dengan bon mahkamah bernilai RM20,000.
Difahamkan Thaqif turut mengadu kepada ibunya mengenai kejadian dipukul itu dan turut menulis dalam diarinya bagaimana kejadian itu bermula pada Mac. – 11 Julai, 2017.