Iklan

Penipuan dalam PRU14 masih belum selesai, kata Bersih 2.0

Gan Pei Ling6 years ago7th Jul 2018Berita
Maid abuse 20180329 tmihasnoor 006
Pemangku pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya meletak jawatan kerana mereka terbabit dalam penipuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2018.
Iklan

KEPUTUSAN pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei mungkin menjadi kemenangan bagi rakyat, tetapi insiden penipuan dalam pengundian yang tinggi dilaporkan kepada Bersih 2.0 membuktikan perjuangan untuk perubahan pilihan raya perlu dipertingkatkan.

Pemangku pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari berkata sementara ramai yang cenderung untuk “berlembut: dengan pemimpin kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), kumpulan itu pula berharap untuk terus menggesa supaya PH mengambil tindakan terhadap aduan penipuan pilihan raya.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya semua letak jawatan. Mereka terbabit dalam penipuan,” kata Shahrul kepada The Malaysian Insight dalam temu bual.

“Sepatutnya perlu ada RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) untuk menyiasat kesalahan pilihan raya yang dilakukan sebelum, semasa dan selepas PRU14. Mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa.”

Shahrul berkata Bersih akan terus meneliti kerajaan dan perlu kekal bebas.

“Bersih tidak berat sebelah. Kami bukan pro-Pakatan atau pro-Barisan Nasional. Kami pro-rakyat.

“Ramai yang berfikiran kami pro-Pakatan. Kami pro perubahan. Keutamaannya ialah perubahan.”

Shahrul berkata kemenangan PH ialah langkah kecil menuju perubahan, kerana kebanyakan pemimpin PH sudah lama menjadi penyokong gerakan Bersih untuk perubahan pilihan raya.

“Ya, PRU14 memang ajaib. Rakyat menang. Anda mencipta revolusi senyap,” katanya.

“Tetapi ini hanya langkah pertama. Kita tidak sepatutnya berpuas hati. Kita perlu ambil peluang ini untuk berubah.”

Bersih 2.0 belum lagi berpuas hati.

Sejak PRU14, kumpulan itu membantah keputusan Kabinet untuk memperuntukkan RM500,000 kepada wakil rakyat persekutuan daripada PH dan hanya satu perlima daripada itu – RM100,000 – untuk wakil rakyat pembangkang.

Ahli jawatankuasa pemandunya juga bertemu dengan Jawatankuasa Perubahan Institusi dan penyokong PH dengan kertas kerja yang terperinci bagi perubahan pilihan raya dan Parlimen untuk jangka pendek dan panjang.

“Antara perubahan itu ialah pendaftaran pengundi automatik, audit daftar pengundi, pemansuhan undi pos domestik, undi pos luar negara, tempoh kempen minimum 21 hari, akses media yang adil, itu semua boleh dibuat tanpa mengubah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Bersih 2.0 akan mengeluarkan laporan penuhnya mengenai PRU14 pada 13 Julai, tiga hari sebelum persidangan pertama Parlimen di bawah kerajaan PH.

Shahrul, yang menyertai jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 pada 2016 dan membantu menganjurkan perhimpunan Bersih 5, berkata dengan adanya kerajaan baharu, beliau berharap pakatan itu akan akhirnya dapat mendaftar di Pertubuhan Pendaftar.

Beliau berkata dengan empat kakitangan dalam sekretariatnya, pendanaan juga akan jadi lebih mudah.

“Harapnya kerajaan baharu akan mempertimbangkan memberi dana kepada organisasi persatuan sivil bebas seperti kami,” katanya.

Beliau berkata Bersih 2.0 perlu kekal dalam mendesak perubahan sistem pilihan raya, bagi memastikan negara ini tidak kembali kepada tahun-tahun rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kami tidak mahu kembali kepada rejim autoritarian iaitu BN 2.0 atau politik wang di mana wang adalah raja,” katanya. – 7 Julai, 2018.

Iklan
Iklan