Iklan

Tiada lagi lantikan politik dalam persatuan sukan, kata Syed Saddiq

Gan Pei Ling6 years ago9th Jul 2018Berita
Syed saddiq 20171222 tmihasnoor 005(1)
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga berhasrat untuk memberikan ruang kepada teknokrat sukan untuk memimpin hala tuju baharu dalam sukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2018.
Iklan

LANTIKAN politik dalam persatuan sukan akan dihentikan bagi mengurangkan campur tangan politik dan rasuah dalam bidang sukan, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Rasuah dalam sukan akan menjadi cabaran paling sukar. Kita tidak boleh terus campur tangan dalam politik persatuan sukan.

“Awak boleh tanya mana-mana pemberita sukan, mereka akan beritahu yang politik persatuan lebih teruk daripada parti politik.

“Satu (cara) ialah dengan menghapuskan politik sukan dan menghentikan lantikan politik secara berperingkat,” Syed Saddiq memberitahu 400 hadirin pada forum di Unviversiti Sunway petang tadi.

Menteri paling muda itu menjawab soalan orang ramai mengenai apakah rancangan beliau untuk mengatasi gejala rasuah dalam sukan.

Selain itu, Syed Saddiq dan Timbalannya, Steven Sim, berhasrat untuk memberikan ruang kepada teknokrat sukan untuk memimpin hala tuju baharu dalam sukan.

“Steven Sim (dan saya) telah berbincang. Kami tak mahu berlagak (masuk) macam pakar. Ia (akan) merosakkan bidang sukan kita.

“(Kami mahu) untuk mengurangkan seberapa banyak kuasa yang mungkin di tangan menteri untuk memastikan tiada lagi campur tangan politik,” kata Syed Saddiq.

Sim yang turut hadir di forum itu berkata Syed Saddiq telah menggesa kepada tender terbuka dan jemputan terbuka bagi lantikan tertentu dalam Kementerian Belia dan Sukan pada hari kedua beliau menjalankan tugas. – 9 Julai, 2018.

Iklan
Iklan