Kurang akses pendidikan, miskin punca perkahwinan kanak-kanak
Iklan
KEMISIKINAN, kejahilan dan kesukaran keluarga menjadi punca utama berlakunya perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, menurut satu kajian yang dikeluarkan susulan keberangan masyarakat terhadap insiden seorang kanak-kanak Thailand berusia 11 tahun dikahwinkan dengan seorang ustaz Malaysia, minggu lalu.
Kajian yang ditugaskan oleh Unicef dan dijalankan dua sarjana Malaysia itu mendedahkan lazimnya perkahwinan kanak-kanak di negara ini disebabkan oleh kemiskinan, kekurangan akses kepada pendidikan dan perpecahan dalam institusi keluarga.
Kertas kerja bertajuk “Perkahwinan Kanak-kanan di Malaysia” oleh Prof Noor Aziah Mohd Awal dan Dr Mohd Al Adib Samuri dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu dikeluarkan minggu lalu selepas penyelidik menjalankan temu bual dengan 120 peserta tahun lalu.
Semua responden berkahwin antara 2016 hingga 2018 ketika mereka di bawah usia 16 tahun, di mana ia umur paling rendah yang sah bagi kanak-kanak perempuan Islam untuk berkahwin, dan 18 bagi bukan Islam.
Kaji selidik itu menemu bual responden daripada latar belakang, etnik, gender, agama, lokasi geografi dan status ekonomi yang berbeza di seluruh negara, termasuk pelarian Rohingya, selain 20 peserta yang hamil tetapi tidak berkahwin.
Ia menunjukkan bahawa bagi setiap kaum, pendapatan isi rumah yang rendah adalah pendorong utama yang mempengaruhi berlakunya perkahwinan kanak-kanak.
Ibu bapa daripada isi rumah berpendapatan rendah akan memilih untuk mengahwinkan anak mereka yang masih kecil apabila tidak mampu untuk menampung pendidikan kanak-kanak itu.
“Temu bual itu mendedahkan bapa kebanyakan pengantin kanak-kanak itu biasanya berpendapatan rendah. Kebanyakan ibu mereka pula tidak bekerja, tetapi ada sebahagiannya berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan rendah,” menurut kajian itu.
Kebanyakan kanak-kanak yang dikahwinkan tidak dapat ke sekolah kerana masalah kewangan keluarga atau mengandung.
Walaupun sekolah kerajaan di Malaysia tidak mengenakan yuran, masih ada bayaran tambahan seperti pengangkutan, pakaian sekolah, buku dan yuran tambahan.
Sebahagian peserta dalam kajian itu memilih berhenti sekolah untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, dan mereka yang tidak bersekolah akhirnya akan berkahwin awal.
Kertas kerja itu dikeluarkan apabila baru-baru ini kecoh dengan insiden membabitkan seorang penoreh getah dari Kelantan yang berkahwin dengan kanak-kanak Thailand berusia 11 tahun untuk dijadikan isteri ketiganya, bulan lalu.
Lelaki terbabit mendakwa dia hanya mahu membantu menjaga kanak-kanak itu dan keluarganya yang miskin.
Walaupun mendakwa akan hanya duduk serumah dengan kanak-kanak itu apabila dia berusia 16 tahun, perkahwinan berkenaan dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa.
Dan semalam, lelaki itu didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang kerana berkahwin tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran.
Kekurangan pendidikan seksual
Kajian Unicef itu juga menunjukkan selain kemiskinan, kekurangan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) juga antara punca utama berlakunya perkahwinan kanak-kanak.
Ini kerana ramai pengantin kanak-kanak tidak mengambil langkah berjaga-jaga ketika melakukan hubungan seks bagi mengelak kehamilan.
Analisis data itu menunjukkan peserta berkahwin perlu “bertanggungjawab” atas keputusan mereka untuk mengadakan hubungan seks sebelum perkahwinan.
“Perspektif ini berakar umbi dalam tradisi, agama dan nilai yang dipegang oleh sesetengah peserta dan keluarga mereka,” kata kajian itu.
“Temu bual dengan kebanyakan peserta menunjukkan itu bermakna mereka bertanggungjawab kerana melakukan seks sebelum berkahwin, melahirkan anak sebagai akibatnya, yang perlu ada bapa untuk menampung sokongan kewangan.
“Bagi kebanyakan peserta, menerusi perkahwinan, semua itu dapat memenuhi tanggungjawab berkenaan,” kata laporan itu.
Dalam kaji selidik itu, Jabatan kehakiman Syariah merekodkan 6,584 perkahwinan kanak-kanak membabitkan umat Islam dari 2011 hingga Oktober 2016, dengan Sarawak mencatatkan jumlah kes tertinggi (1,284) diikuti Kelantan (1,010) dan Sabah (955).
Daripada jumlah 6,584, sebanyak 3,618 kes membabitkan kanak-kanak perempuan Islam, di mana Kelantan merekodkan kes tertinggi iaitu 673, diikuti Sabah (505) dan Sarawak (466). Baki 2,966 ialah kanak-kanak lelaki Islam.
Kajian itu juga mendedahkan bahawa berdasarkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara, sejumlah 5,215 perempuan bukan Islam berumur antara 16 hingga 18 tahun berkahwin pada 2005 hingga 2015.
Kajian itu juga merekodkan sumber dari Jabatan Orang Asli menunjukkan daripada 63,883 perkahwinan pada 2010, hanya 196 membabitkan kanak-kanak.
Penyelidik mencadangkan beberapa syor untuk mencegah perkahwinan kanak-kanak di negara ini, dan antaranya ialah bantuan kewangan untuk isi rumah miskin bagi membantu meringankan beban keluarga dan mengadakan bengkel kepada ibu bapa untuk mendidik mereka tentang “kesan negatif perkahwinan kanak-kanak”.
“Khidmat kaunseling akan bertindak sebagai susulan untuk seminar atau bengkel bagi memastikan ibu bapa faham bagaimana untuk memberi sokongan dan membimbing anak mereka,” kata kertas kerja itu.
Kajian itu juga mengesyorkan Kementerian Pendidikan menyediakan garis panduan di sekolah untuk menangani masalah kehamilan dalam kalangan remaja. – 10 Julai, 2018.