Iklan

Maria mahu lebih lantang, bawa agenda perubahan di Parlimen 

Gan Pei Ling6 years ago12th Jul 2018Berita
Bar council forum tmikamal 03
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin juga mahu memperkasakan Dewan Rakyat agar menjadi sebuah institusi yang teguh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2018
Iklan

AKTIVIS yang kini menjadi ahli Parlimen Maria Chin Abdullah berazam untuk menjadi backbencher lebih lantang dalam memberikan check and balance kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk lima tahun akan datang. 

“Backbencher perlu lebih lantang, kerana kita ada pembangkang yang lemah. Satu demi satu dipanggil untuk siasatan,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya itu kepada The Malaysian Insight. 

“Sekiranya kita (tidak bersuara di Dewan), kita tidak ubah seperti Barisan Nasional,” katanya yang juga bekas pengerusi Bersih 2.0 yang lantang mengkritik kerajaan sebelum ini. 

Isnin depan, Maria merupakan antara 90 ahli Parlimen baharu mengangkat sumpah pada persidangan pertama Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu. 

Mewakili masyarakat sivil beliau bertanding di bawah tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke 14 dan memenangi kerusi Petaling Jaya menewaskan calon BN dari MCA dengan 57,137 undi. 

Aktivis veteran yang juga pengasas kepada beberapa kumpulan hak asasi wanita berkata, beliau tidak berniat untuk tunduk kepada kerajaan hari ini walaupun memenangi pilihan raya di bawah bendera PH.

Beliau berharap untuk menyatukan backbencher PH bagi menjadikan Dewan Rakyat teguh sebagaimana Parlimen UK.

“Di UK, terdapat jawatankuasa pemilihan parlimen di setiap kementerian untuk pendidikan, pengangkutan (dan sebagainya), untuk meneliti bagaimana kementerian membelanjakan peruntukan mereka dan program yang dilaksanakan. Ini yang ahli Parlimen sepatutnya lakukan dan bukan hanya buat longkang.”

Antara kelebihan lain memiliki jawatan kuasa pemilih di parlimen adalah bagi memastikan pihak berkepentingan dirujuk sebelum meluluskan undang-undang dan peraturan yang dicadangkan oleh eksekutif, tambahnya. 

“Jawatankuasa ini mempunyai kapasiti untuk ke seluruh negara bagi merujuk profesional, kumpulan, sektor swasta, pihak berkepentinan yang terjejas dengan undang-undang atau dasar yang dicadangkan

“Barulah kita memiliki undang-undang yang baik bukan undang yang buruk seperti Akta Antiberita Tidak Benar dan Akta Perhimpunan Aman,” kata Maria. 

Agenda perubahan

Pengetahuan luasnya mengenai sistem pilihan raya Malaysia menjadikan beliau meletakkan pembaharuan pilihan raya sebagai agenda utamanya sebagai ahli Parlimen. 

Maria berkata beliau berharap untuk membawa perubahan kepada sistem pilihan raya Malaysia bagi memastikan ia lebih seimbang dan adil. 

“Saya mahu mencadangkan sistem pilihan raya perwakilan berkadar campuran. Ini akan memastikan kerusi diperuntukkan oleh undi popular. Parti-parti yang lebih kecil akan mempunyai peluang untuk memenangi lebih banyak kerusi,” katanya.

“Kita boleh atasi masalah gerrymandering dan parti lebih kecil, wanita dan komuniti marginal seperti Orang Asli akan memiliki wakil lebih baik (di Dewan Rakyat).”

Beliau juga akan menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan parlimen khususnya mengenai kesaksamaan jantina dan menyeru penghapusan undang-undang yang melanggar hak asasi manusia, seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 (Sosma), dan Seksyen 124B dan Seksyen 124C Kanun Keseksaan yang menjejaskan aktiviti dan percubaan untuk melemahkan demokrasi parlimen.

“Tidak cukup hanya memansuhkan Sosma, Seksyen 124 Kanun Keseksaan juga perlu mansuh.

“Atau mereka (kerajaan) mesti menentukan apa yang mereka maksudkan dengan melemahkan demokrasi berparlimen,” kata Maria, yang ditahan selama 10 hari tanpa perbicaraan pada 2016 sebelum perhimpunan Bersih 5 di bawah kedua-dua undang-undang itu.

Beliau mengakui bahawa kegembiraannya untuk memulakan penggal pertamanya sebagai ahli Parlimen telah diketepikan oleh fakta bahawa PH masih belum melepaskan maklumat mengenai mana-mana undang-undang yang hendak dimansuhkan atau dipinda dalam sidang dewan minggu depan.

Maria berkata pentadbiran baru perlu mengambil kira hakikat bahawa ahli Parlimen memerlukan masa untuk mengkaji tindakan dan pindaan untuk membahaskan dan mengundinya.

“Kami memerlukan masa untuk penyelidikan dan persediaan.

“Saya berharap mereka tidak melakukan gaya BN, meletakkan undang-undang di atas meja anda pada hari yang sepatutnya kita perdebatkan.”– 12 Julai, 2018

Iklan
Iklan