Iklan

Penyingkiran lantikan politik dalam GLC perlu dilakukan, kata pakar ekonomi

Gan Pei Ling6 years ago13th Jul 2018Berita
Woo wing thye tmikamal 04
GLC adalah lubuk korupsi, penyingkiran lantikan politik dalamnya adalah tindakan membetulkan hala tuju, kata Profesor Ekonomi University of California, Woo Wing Thye. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 13 Julai, 2018.
Iklan

MALAYSIA berada dalam hala tuju yang tepat dengan menyingkirkan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kata pakar ekonomi Profesor Woo Wing Thye.

“Kita perlu mengakui yang GLC adalah lubuk korupsi.

“Apa yang kita (kerajaan baharu) lakukan adalah membetulkannya,” kata profesor ekonomi di University of California, Davis itu kepada wartawan selepas menyampaikan kuliahnya mengenai kemelut perdagangan China-Amerika Syarikat tengahari tadi di Kuala Lumpur.

Beliau ditanya sama ada penyingkiran lantikan politik dalam GLC akan memberi kesan dan kejutan besar kepada syarikat terbabit.

“Ia bukan kejutan tetapi satu pembetulan. Ia ubah kapal daripada (langgar) batu karang,” kata Woo.

Katanya, video Hebatkan Negaraku yang menampilkan beberapa eksekutif kanan GLC yang secara terbuka berkempen untuk Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah bukti kerosakan yang melanda GLC.

“Ia tak normal. Adakah anda menyanyi puji bos bila anda lapang? Mereka tak wajar menyanyi untuk tuan politik mereka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah yang perubahan kepimpinan GLC semata-mata tidak mencukupi dan Malaysia perlu memikirkan kembali bagaimana untuk memastikan GLC berfungsi dengan baik apabila banyak negara menyaksikan kegagalan GLC mereka.

“Kebanyakan orang melihat GLC ada masalah pengurusan. (Tetapi) sistem insentif menjadikan ia sangat sukar untuk mereka wujud sebagai syarikat biasa.

“Kewujudan mereka menyukarkan kerajaan untuk tidak menganggap mereka (GLC) sebagai ATM,” kata Woo.

Selain Woo, seorang lagi pakar ekonomi Terence Gomez juga membangkitkan isu besarnya kuasa menteri kewangan terhadap GLC.

Gomez mencadangkan Dewan Rakyat menubuhkan jawatankuasa untuk menyelia prestasi GLC. – 13 Julai, 2018.

Iklan
Iklan