Iklan

Tiada tempoh 'bulan madu' bagi ahli Parlimen baru 

Gan Pei Ling6 years ago15th Jul 2018Berita
Parliament mp 260618 tmiseth 01
Dr Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ini perlu cepat membiasakan diri dengan hal-hal birokrasi sebelum memperbaharuinya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.
Iklan

ESOK, 90 ahli Parlimen baru akan mengangkat sumpah pada persidangan pertama Dewan Rakyat, paling ramai dalam sejarah Parlimen negara.

Kesemua ahli Parlimen baru ini, kata Dr Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia, akan menerima tekanan tinggi kerana harus cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru agar dapat memberi semak dan imbang yang berkesan.

“Mereka baru dalam hal-hal berkaitan protokol, tadbir urus dan birokrasi.

“Mereka masih belum mampu memberi semak dan imbang kerana sedang membiasakan diri,” Kartini memberitahu The Malaysian Insight.

Antara ahli Parlimen baru ini ialah bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) serta Menteri-menteri Kabinet Yeo Bee Yin (Bakri), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Rina Harun (Titiwangsa).

Kartini berkata ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ini perlu cepat membiasakan diri dengan hal-hal birokrasi sebelum memperbaharuinya.

“Bagaimana mereka nak buat perubahan tanpa pengetahuan mengenai undang-undang dan peraturan (sedia ada)?

“Banyak yang mereka perlu pelajari. Untuk menguasai peraturan dan undang-undang birokrasi perlukan masa selama bertahun-tahun,” katanya.

Jelas Kartini lagi, 90 ahli Parlimen ini bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan awam untuk membantu mereka berjaya menjalankan peranan masing-masing.

“Saya percaya mereka (penjawat awam) akan profesional. Pakatan Harapan adalah kerajaan yang memerintah. Mereka kena terima bahawa PH menang dengan majoriti,” katanya sambil menambah penjawat awam juga antara kalangan rakyat yang memilih PH.

Tak kiralah sama ada mereka ini dari PH atau BN, prestasi ahli-ahli Parlimen dalam landskap politi baru akan jadi tumpuan rakyat, kata Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2018.

Ini merupakan kali pertama bagi penjawat awam di peringkat Persekutuan mengalami perubahan dalam kerajaan sejak Merdeka pada 1957.

Bagaimanapun, Dr Wong Chin Huat dari Institut Pulau Pinang berkata sat “jalan pintas” yang boleh digunakan oleh ahli-ahli Parlimen baru ini ialah dengan menubuhkan jawatankuasa pemilih Parlimen bagi setiap kementerian.

Beliau berkata melalui jawatankuasa ini mereka boleh secara rasmi memanggil penjawat awam (atau pihak berkepentingan yang berkaitan) menyoal mereka seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), atau mengadakan rundingan di seluruh negara.

“Dengan adanya jawatankuasa, proses pembelajaran akan jadi pendek dan ahli Parlimen tak akan jadi seperti badut,” kata Wong.

Semua mata tertumpu pada ahli Parlimen

Tak kiralah sama ada mereka ini dari PH atau BN, prestasi ahli-ahli Parlimen dalam landskap politik baru akan jadi tumpuan rakyat, kata Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar.

“PH perlu membiasakan diri sebagai kerajaan dan BN sebagai pembangkang. Perubahan segera dalam pemikiran (menyesuaikan diri dengan realiti politik baru) amat diperlukan di Parlimen,” kata Hisommudin.

Ahli Parlimen termuda, P. Prabakaran (Batu), 22, perlu cepat matang, katanya.

“Mereka mesti bersiap sedia untuk berbahas dengan ahli Parlimen yang lebih senior,” jelas Hisommudin.

Namun beliau berkata baru atau berpengalaman, semua ahli Parlimen harus sedar bahawa rakyat meletakkan harapan tinggi di bahu mereka dalam “Malaysia Baru”. – 15 Julai, 2018.

Iklan
Iklan