Iklan

Pinjaman PTPTN masih perlu dibayar, kata pengerusi

Asila Jalil6 years ago16th Jul 2018Berita
Ptptn wan saiful 20180716 tmihasnoor 004
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Wan Saiful Wan Jan ketika bercakap pada sidang media yang diadakan di bangunan agensi itu di ibu negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Julai, 2018
Iklan

PINJAMAN Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih perlu dibayar oleh peminjam, tetapi kerajaan membenarkan penangguhan pembayaran kepada mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan, kata pengerusi agensi itu Wan Saiful Wan Jan. 

“Saya ingin menggesa kepada peminjam PTPTN untuk lebih bersemangat membayar pinjaman mereka dan elakkan dari bertangguh,” katanya kepada pemberita pada sidang media di bangunan PTPTN di Kuala Lumpur hari ini. 

Wan Saiful berkata beliau ingin memperbetulkan salah tafsir umum bahawa peminjam PTPTN tidak perlu membayar pinjaman mereka selepas Pakatan Harapan mendapat kuasa selepas Pilihan Raya Umum ke 14. 

“Jangkaan bahawa peminjam tidak perlu membayar selepas kemenangan kita pada 9 Mei perlu diperbetulkan. Terdapat proses sewajarnya,” katanya. 

Wan Saiful berkata mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 boleh memohon untuk menangguhkan bayaran semula pinjaman dengan mengemaskini butiran gaji mereka dan menyertakan dokumen sokongan. 

“Peminjam diingatkan supaya mengemaskini pendapatan mereka dengan telus, yang boleh disokong oleh dokumen apabila diminta. 

“Audit akan dijalankan oleh PTPTN. Adalah menjadi satu kesalahan memberikan maklumat palsu,” katanya dan menambah kemas kini boleh dilakukan bermula hari ini hingga 25 Julai. 

Wan Saiful juga berkata agensi itu tidak akan memansuhkan caj pentadbiran 1% yang dikenakan terhadap peminjam, dan berkata jumlah caj yang dikenakan adalah berpatutan. 

“Ia hanya 1%. Jika kita batalkan, saya rasa kita akan menjadi Ah Long paling bermurah hati di negara ini,” katanya. 

Tahun lalu, graduan di Malaysia menggesa agensi berkenaan membatalkan caj pentadbiran, yang mana ramai yang merasakan ia seperti riba.

Pakatan Harapan dalam manifestonya berjanji untuk menunaikan 10 janji pilihan raya dalam masa 100 hari, salah satunya adalah menangguhkan bayaran balik PTPTN bagi peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan membatalkan amalan menyenarai hitam peminjam ingkar daripada ke luar negara. 

PTPTN setakat ini telah mengeluarkan 429.945 nama daripada senarai hitam oleh Jabatan Imigresen bulan lalu. – 16 Julai, 2018

Iklan
Iklan