PTPTN bukan syarikat berkaitan kerajaan, kata Wan Saiful
Iklan
PENGERUSI Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Wan Saiful Wan Jan menegaskan bahawa pelantikannya tidak bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan yang berjanji untuk menghapuskan lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana agensi itu merupakan badan berkanun.
“Saya terlibat dalam proses merangka manifesto PH, dan saya ingin jelaskan bahawa penggunaan perkataan dalam manifesto itu dibuat secara terperinci.
“Apabila kita membuat keputusan yang mana pelantikan dalam GLC mesti berpandukan profesionalisme, kita membezakan antara GLC dan badan berkanun,” katanya kepada pemberita di bangunan PTPTN di Kuala Lumpur hari ini.
Katanya, badan berkanun diwujudkan dengan tujuan untuk membantu rakyat atau menyelesaikan isu ekonomi dan tidak bertindak sebagai GLC.
“Dalam manifesto, kami mengambil berat tentang pelantikan dalam GLC, bukan badan berkanun.
“Mereka yang mengkritik (pelantikan saya), saya alu-alukan mereka untuk baca sekali lagi manifesto,” katanya.
Wan Saiful bertanding di kerusi Pendang pada Pilihan Raya Umum ke 14 namun tewas, yang mana ia membawa kepada persoalan sekiranya pelantikannya sebagai pengerusi PTPTN dilihat sebagai ganjaran.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik sebelum ini pernah mempertahankan beliau, dan berkata Wan Saiful dilantik selepas beberapa orang menolak untuk memegang jawatan itu. – 16 Julai, 2018