Iklan

Hentikan birokrasi terhadap koperasi, kata Angkasa

Gan Pei Ling6 years ago16th Jul 2018Berita
Abdul fattah angkasa tmi 001
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Abdul Fattah Abdullah berkata dasar dan undang-undang yang ketat juga menyekat pertumbuhan koperasi di seluruh negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 Julai, 2018.
Iklan

KOPERASI mahu merangsang ekonomi namun terhalang oleh birokrasi, kata Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Menurut Presiden Angkasa, Abdul Fattah Abdullah dasar dan undang-undang yang ketat juga menyekat pertumbuhan koperasi di seluruh negara.

Beliau berkata sebanyak 9, 646 koperasi di bawah badan itu mahu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tetapi dihalang oleh birokrasi.

“Kami harap kerajaan mengkaji semula dasar dan undang-undang yang tidak mesra dengan koperasi, yang  menyekat (pertumbuhan mereka), supaya kami dapat memainkan peranan lebih baik dalam ekonomi.

“Jangan lupa, koperasi juga memainkan peranan sosial. Kami juga menyatukan rakyat. Kami terima mereka sebagai ahli, tidak kira agama dan kaum,” kata Fattah selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Kuala Lumpur hari ini.

Terdapat kira-kira 28 garis panduan yang harus koperasi patuhi dan kekurangan sumber manusia menyebabkan proses kelulusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menjadi lambat.

“Banyak koperasi yang mahu berniaga. (Tetapi) katakanlah jika koperasi mahu jalankan perniagaan penjagaan kesihatan, kami perlu dapatkan kebenaran daripada ahli-ahli kami dalam AGM (mesyuarat agung tahunan), kemudian daripada SKM, kemudian barulah kami boleh mendaftar dengan SSM (suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan dapatkan lesen daripada Kementerian Kesihatan.

“Prosesnya mengambil masa yang lama,” kata Fattah.

Baru-baru ini 20 kumpulan masyarakat sivil menggesa kerajaan menyusun semula sektor koperasi bagi meningkatkan prestasi ekonomi sektor itu.

Mereka mendakwa sektor itu mengawal aset bernilai RM135.8 bilion tetapi hanya menyumbang 15 daripada keluaran dalam negara kasar.  – 16 Julai, 2018.

Iklan
Iklan