BN tidak sepatutnya guna projek mega untuk kepentingan politik, kata PKR
Iklan
BARISAN Nasional (BN) tidak sepatutnya menggunakan projek mega untuk kepentingan politik, kata PKR.
“Kerajaan tidak wajar mengumumkan projek mega yang menggunakan dana awam seperti manifesto politik,” Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri Najib Razak melancarkan projek MRT fasa 2 melibatkan laluan Sungai Buloh-Kajang.
“Alangkah indahnya jika keprihatinan perdana menteri juga dizahirkan ketika rakyat terkandas di laluan LRT, dan tambang yang terpaksa dinaikkan oleh pemaju kerana kos senggara,” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa MRTCorp dan Prasarana menerbitkan laporan bulanan agar projek itu lebih telus.
Nurul Izzah turut mengulangi desakan agar Putrajaya mewujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen berkaitan pengangkutan awam.
“Jawatankuasa ini harus melibatkan pembuat dasar dari pihak kerajaan dan pembangkang serta ahli akademik dan pakar industri berkaitan pengangkutan awam.
“Persoalannya kini, berapakah kos sebenar projek MRT seperti yang dibentangkan dalam kertas kerja awal dan sekiranya ia “melepasi bajet asal” bagaimana kerajaan boleh memastikan bukan rakyat yang harus tanggung bahana hutang kerana perbelanjaan melangkaui jumlah bajet awal?” Soal Nurul Izzah.
Pada pelancaran MRT hari ini Najib berkata projek berkenaan berjaya disiapkan 2 minggu lebih awal dan sebanyak RM2 bilion dikurangkan. – 17 Julai, 2017.