Saya tidak akan bincang hal Umno secara terbuka, kata Khairy
Iklan
AHLI Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan membincangkan perkara berkaitan Umno secara terbuka kepada umum, tidak seperti Annuar Musa.
“Saya tidak akan bercakap tentang parti di luar. Dia (Annuar) boleh buat begitu kalau mahu, tetapi saya tidak akan buat seperti itu,” kata bekas ketua Pemuda Umno itu kepada wartawan di lobi Parlimen selepas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Semalam, Annuar yang juga setiausaha agung Umno memberi amaran kepada Khairy berkenaan kenyataannya yang melampau, dalam mengkritik parti susulan kekalahan dalam PRU14.
Annuar berkata nama Khairy termasuk dalam senarai kepimpinan Umno tetapi bekas menteri belia dan sukan itu menolak tawaran itu. Pada masa ini Khairy hanya memegang jawatan sebagai wakil rakyat Rembau.
Umno mengumumkan ahli Majlis Tertinggi minggu lalu.
Ketika ditanya tentang khabar angin beliau akan keluar Umno, Khairy menafikan dan berkata akan kekal dalam parti.
“Saya setia dengan parti saya,” kata Khairy.
Semalam, Khairy menjadi tumpuan kerana tidak mengikut tindakan ahli pembangkang lain yang keluar beramai-ramai dari Dewan Rakyat sebagai tanda bantahan terhadap pelantikan speaker.
Beliau tidak bersetuju dengan tindakan itu dan berkata beliau tidak mahu mencemarkan imej Barisan Nasional. – 17 Julai, 2018.