Iklan

Buat kali ke-10, AirAsia menang anugerah syarikat tambang murah terbaik dunia

Gan Pei Ling6 years ago17th Jul 2018Berita
Airasia best low-cost airline award 03
AirAsia dinobatkan sebagai syarikat tambang murah terbaik dunia untuk kali kesepuluh berturut-turut dalam Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax. AirAsia X juga menang anugerah kabin krew tambang rendah premium terbaik dunia buat kali keenam berturut-turut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 17 Julai, 2018.
Iklan

AIRASIA dinobatkan sebagai syarikat tambang murah terbaik dunia untuk kali kesepuluh berturut-turut dalam Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax.

“Sukar dipercayai yang kami menang 10 kali berturut-turut.

“Saya sangat gembira dengan semua rakan sekerja yang buat kerja mereka dengan hebat sekali,” kata CEO dan Pengasas Bersama AirAsia Tony Fernandes pada sidang media di Tune Hotel, Klia2 malam ini.

Pengerusi Eksekutif dan Pengasas Bersama AirAsia Kamarudin Meranun menerima anugerah itu di London hari ini.

Fernandes berkata salah satu cabaran terbesar AirAsia untuk terus kekal mendahului persaingan sengit penerbangan awam dunia adalah untuk menangani ketidaktentuan industri pelancongan global.

“Apa yang anda lakukan bila gunung berapi meletup? Atau bila presiden Filipina umumkan yang mereka tutup salah satu pulaunya?

“Kita juga adalah syarikat penerbangan swasta yang bersaing dengan syarikat penerbangan milik kerajaan,” kata Fernandes lagi.

Skytrax, syarikat penyelidikan berpangkalan di London memulakan kajian tahunan kepuasan hati pelanggan syarikat penerbangan sejak 1999.

Sejumlah 20 juta pelanggan dari lebih 100 negara mengambil bahagian dalam kajian terbaru yang diadakan antara Ogos 2017 dan Mei 2018.

335 syarikat penerbangan dinilai.

Singapore Airlines diundi sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia. Kali terakhir, syarikat Singapura itu menang adalah pada 2008.

Qatar Airlines menduduki tempat kedua dan ANA dari Jepun di tempat ketiga.

AirAsia X juga menang anugerah kabin krew tambang rendah premium terbaik dunia buat kali keenam berturut-turut.

Pengerusi AirAsia X Rafidah Aziz menerima anugerah itu di London. – 17 Julai, 2018.

Iklan
Iklan