Caruman RM50 KWSP hanya untuk isteri pertama, kata TPM
Iklan
TIMBALAN Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata hanya isteri pertama bagi lelaki Islam yang akan menerima bantuan caruman RM50 yang dicadangkan oleh kerajaan persekutuan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) di Dewan Rakyat yang bertanya adakah isteri kedua dan ketiga akan turut menerima faedah itu.
“Itu tanggungjawab suami. Kerajaan akan hanya memperuntukkan sumbangan kepada isteri pertama,” katanya.
Beliau berkata lelaki Islam yang mahu berpoligami sepatutnya mampu menanggung isteri-isteri mereka, bukannya bergantung pada kerajaan.
“Ini bukan nafkah, ini untuk simpanan masa depan mereka.
“Kenapa pula kerajaan perlu beri elaun sara hidup tambahan (kepada isteri selain daripada isteri pertama),” katanya yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Kerajaan Pakatan Harapan mencadangkan kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah melibatkan 2% daripada 11% caruman gaji suami dan RM50 daripada dana kerajaan.
Ahli-ahli Parlimen tergelak ketika Khairuddin bertanya soalan itu dan jawapan Dr Wan Azizah.
Islam membenarkan lelaki berkahwin dengan empat isteri.
Dr Wan Azizah sebelum ini berkata cadangan itu tidak akan melakukan potongan tambahan daripada gaji suami. – 18 Julai, 2018.