Iklan

Setiap negeri akan dilayan dengan adil, kata Guan Eng

Asila Jalil6 years ago18th Jul 2018Berita
Iklan

PUTRAJAYA berjanji akan bertindak adil dalam memberi peruntukan kepada negeri, kata Lim Guan Eng di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri kewangan itu berkata Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menilai semula peruntukan yang diberi kepada kerajaan negeri bagi memastikan setiap negeri menerima pembangunan sama rata.

“Sudah tentu dasar kerajaan baru ialah untuk memastikan semua kerajaan negeri diberi layanan sama rata, terutamanya negeri yang ketinggalan (dari segi pembangunan).

“Tetapi, pada masa yang sama kita nak lihat mereka boleh memperbaiki dari segi pengurusan dan pentadbiran, bagi memastikan mereka boleh mengamalkan pentadbiran CAT (kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan) supaya tidak terlalu bergantung kepada peruntukan Persekutuan,” kata Lim semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Mukhriz Mahathir (Jerlun) mengenai apakah kerajaan akan mengkaji semula undang-undang yang mengawal peruntukan kepada negeri, kerana terdapat ebberapa undang-undang yang sudah lapuk.

Terdahulu, Mukhriz telah bertanya kepada Kementerian Kewangan sama ada urusan kewangan antara negeri dan Putrajaya akan dikaji semula berikutan beberapa perubahan dalam pentadbiran di beberapa negeri dan peringkat Persekutuan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Lim berkata sebarang pindaan berkaitan peruntukan kepada negeri daripada kerajaan Persekutuan adalah tertakluk kepada Perkara 109 (1) Perlembagaan Persekutuan dan sebarang cadangan melibatkan perkara itu perlu dibawa ke Majlis Kewangan Negara.

Tambah beliau lagi, kerajaan Persekutuan terbuka menerima sebarang cadangan, namun mengingatkan Mukhriz mengenai had fiskal negara kerana Putrajaya bercadang untuk mengurangkan hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu.

“Keutamaan kita sekarang ialah bagaimana hendak menyelamatkan keadaan fiskal supaya kita dapat pulih.” – 18 Julai, 2018.

Iklan
Iklan