Polis tidak bersikap profesional kendali kes Sosma, kata pensyarah undang-undang
Iklan
PEGAWAI polis yang terlibat dalam penangkapan dan penahanan suspek di bawah Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (Sosma) tidak mempamerkan profesionalisme sewajarnya dan menyalahgunakan kuasa mereka, kata pensyarah undang-undang Universiti Malaya Dr Azmi Sharom.
Isu ini perlu ditangani kerana mereka yang ditangkap di bawah Sosma boleh ditahan sehingga 28 hari.
Azmi berkata skop kerja pegawai polis tidak melibatkan pendakwaan tahanan.
“Polis patut menyiasat. Mereka bukan pendakwa, mereka bukan hakim.
“Tugas mereka adalah untuk menyiasat dan memberikan bukti kepada pendakwa yang akan menyerahkannya kepada hakim.
“Hakim akan memutuskan sama ada satu orang itu bersalah atau tidak,” katanya dalam forum “Masihkan Sosma Relevan di Malaysia” di Kuala Lumpur malam tadi.
Azmi berkata Sosma juga menyebabkan pegawai polis malas kerana mereka tidak perlu melakukan apa-apa ketika tahanan ditahan.
Tahanan di bawah Sosma akan ditahan selama 28 hari jika ditangkap.
Beliau juga menegaskan seksaan tahanan bukan merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan maklumat daripada mereka.
“Apabila seseorang disiksa, Ia tidak berkesan kerana anda tidak mendapat kebenaran.
“Orang akan mengatakan apa sahaja ketika dalam kesakitan, untuk menamatkan penyeksaan,” katanya.
Azmi juga berkata Sosma digunakan sebagai hukuman, bukannya undang-undang untuk membantu siasatan.
“Undang-undang kita membenarkan perkara ini berlaku, secara prinsipnya tidak betul. Cara ia digunakan adalah menyalahgunakan kuasa,” kata Azmi sambil menambah undang-undang menjadi teruk apabila ia digunakan dengan cara yang salah.
Selain ke arah mereformasi institusi, Azmi juga menggesa perubahan masyarakat kerana rakyat Malaysia sering berfikir mereka yang ditangkap bersalah.
“Seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Ini adalah masalah sikap dan pembaharuan masyarakat yang perlu dilakukan,” katanya.
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin sebelum ini mengatakan kementerian menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk menyemak semula undang-undang yang dianggap tidak menegakkan hak asasi manusia.
Jawatankuasa yang ditubuhkan bulan lalu dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Alwi Ibrahim dikatakan sedang mengkaji Sosma, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca). – 19 Julai, 2018.