Iklan

Tahanan Sosma perlukan pemulihan

Asila Jalil6 years ago19th Jul 2018Berita
Aishah tmi 010417 04
Bapa Siti Noor Aishah, Atam Jusof (kiri) pada perhimpunan solidariti di luar Penjara Kajang pada 1 April. Siti Aishah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2018.
Iklan

TAHANAN di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 2012 (Sosma) memerlukan pemulihan untuk mengatasi trauma dan penyeksaan penahanan sehingga 28 hari, kata seorang peguam yang menangani beberapa kes sebegitu.

Farida Mohd, peguam kumpulan hak asasi manusia, Suaram, berkata ramai yang ditahan di bawah Sosma tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.

“Apabila seseorang ditangkap di bawah Sosma, penahanan 28 hari sudah pasti. Dalam tempoh itu, mereka akan diseksa dengan teruk oleh polis. “

“Pada pendapat saya, 28 hari tidak perlu dan menyebabkan tekanan emosi yang teruk kepada tahanan,” katanya dalam satu forum bertajuk “Masihkah Sosma Relevan dalam Malaysia Baru” di Kuala Lumpur semalam.

Tahanan juga mempunyai masalah menyesuaikan diri dengan “kehidupan biasa” selepas dibebaskan kerana banyak diskriminasi dalam pasaran kerja.

Beliau menyebut contoh seorang yang ditahan selama enam tahun. Akaun bank individu itu dibekukan dan tidak menerima gaji sebelum perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

“Saya menggesa kerajaan baru menghapuskan Sosma, Poca (Akta Pencegahan Jenayah 1959 ) dan Pota (Akta Pencegahan Keganasan 2015) serta menjaga kesejahteraan keluarga tahanan,” kata Farida.

Sementara itu, seorang bapa bekas tahanan Sosma, Atam Jusoh, 63, berkata anak perempuannya, Siti Noor Aishah Atam, ditangkap tanpa sebarang bukti.

“Mereka mengatakan beliau mempunyai buku yang dianggap sebagai barangan dikaitkan dengan keganasan tetapi ia adalah untuk tesisnya,” katanya kepada wartawan di luar forum.

Siti Aishah ditangkap pada 2016 dan dibebaskan tahun ini tetapi kini ditahan di bawah Poca. Beliau hanya dihadkan di Kampung Sura, Dungun, Terengganu.

Atam berkata anak perempuannya yang berusia 31 tahun itu bercadang meneruskan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tetapi tidak dapat berbuat demikian tahanan rumah itu.

“Ia sangat sukar untuknya. Saya tahu beliau tidak bersalah dan saya kasihan kepadanya,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga tahanan Sosma, Norsham Jalani, 43, menyatakan harapan agar abangnya, Azmi, dibebaskan tidak lama lagi.

Azmi, 28, pernah berkhidmat di angkatan udara tetapi ditangkap pada 2015 kerana didakwa merancang menculik perdana menteri.

“Beliau hilang motivasi berada dalam tahanan dan kami memastikan melawatnya setiap minggu sejak penangkapan itu.”

Azmi dipecat selepas penangkapan itu dan keluarganya merancang untuk menyaman kerajaan untuk pembebasan Azmi. – 19 Julai, 2018.

Iklan
Iklan