Iklan

Pakatan tidak akan nafi impak laksana SST, kata Guan Eng

Asila Jalil6 years ago19th Jul 2018Berita
Lim guan eng interview 210618 tmiseth 04
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata SST akan memberi kesan kepada kenaikan harga tetapi ia hanya akan mengutip RM21 bilion atau hampir separuh daripada apa dikutip daripada GST sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2018.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) tidak menafikan akan wujud kesan daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan pada September.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata SST akan memberi kesan kepada kenaikan harga tetapi ia hanya akan menjana RM21 bilion atau hampir separuh daripada apa dikutip daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum ini.

“Kami tidak menafikan, kami tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mengatakan GST akan mengurangkan harga barang. Saya tidak mengatakan hal yang sama.

“Kesannya ada tetapi ia sepatutnya separuh dari apa yang dialami rakyat ketika GST dilaksanakan,” kata Lim.

Lim menjawab soalan Wee Ka Siong (BN - Ayer Itam) yang menanyakan apakah harga barangan akan meningkat jika SST dilaksanakan dan apakah langkah yang diambil untuk memastikan SST tidak akan menyebabkan kenaikan harga dan membebankan rakyat.

Selepas Lim menjawab soalan itu, Ahmad Maslan (BN-Pontian) kemudian meminta soalan tambahan semasa sesi soal menteri, yang menyebabkan orang di dalam Dewan ketawa.

Ahmad berkata SST tidak telus seperti GST kerana ia tidak ditunjukkan pada resit.

Sebelum Lim menjawab soalan itu, beliau berkata Ahmad sepatutnya lebih mengetahui tentang kesan GST tetapi beliau akan “berhati-hati” ketika menerima nasihat daripada Ahmad.

“Kami tidak menafikan fakta bahawa GST lebih telus tetapi ia juga boleh mengumpul sejumlah besar cukai dan akan memberi kesan kepada rakyat.

“SST tidak telus dan cekap seperti GST tetapi impak ke atas rakyat akan berkurangan,” katanya sambil menambah beliau akan mendedahkan mengapa pengguna tidak dapat menuntut bayaran balik daripada GST.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Ong Kian Ming berkata SST digunakan untuk barangan yang berbeza dan tidak boleh digabungkan sebagai 16%.

Beliau berkata adalah salah mencampurkan cukai jualan sebanyak 10% dan cukai perkhidmatan sebanyak 6% kerana cukai jualan hanya dikenakan pada tahap pengeluaran dan cukai perkhidmatan hanya dikenakan pada tahap perkhidmatan. – 19 Julai, 2018.

Iklan
Iklan