Iklan

Mahkamah ketepi keputusan cabar persempadanan semula di Melaka

Amin Iskandar7 years ago18th Jul 2017Berita
Iklan

MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan tujuh pengundi di Melaka mencabar persempadanan semula.

Keputusan itu dibuat tiga panel hakim yang dipengerusikan Umi Kalthum Abdul Majid bersama Hasnah Mohammed Hashim dan Idrus Harun.

SPR yang diwakili peguam Amarjeet Singh sementara tujuh pengundi terbabit diwakili peguam Ambiga Sreenevasan.

Keputusan mahkamah hari ini memberikan kesan kepada pengundi yang membuat cabaran sama terhadap SPR di negeri-negeri lain.

Keputusan terbabit juga bermakna permohonan tujuh pengundi itu untuk mencabar keputusan mahkamah sudah berakhir.

Tujuh pengundi berkenaan sebelum ini dibenarkan Mahkamah Tinggi Melaka pada 3 Mei lalu untuk mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.

Pada 4 April lalu, tujuh pengundi memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman dan memohon perintah penangguhan terhadap SPR melalui peguam mereka, Ambiga.

Ketujuh-tujuh mereka ialah - Chan Tsu Chong, 29; Neo Lih Xin, 31; Azura Talib, 40; Lim Kah Seng, 31; Norhizam Hassan Baktee, 51; Amir Khairudin, 53 dan Amran Atan, 47 - mewakili pengundi dari kerusi Parlimen Kota Melaka dan Bukit Katil mencabar cadangan persempadanan semula SPR yang dianggap mereka sebagai tidak berperlembagaan. – 18 Julai, 2017.

Iklan
Iklan