Pemimpin Pemuda Amanah mengaku tidak bersalah ‘kunci pagar SPR’
Iklan
NAIB Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin tidak mengaku bersalah atas dakwaan menyebabkan gangguan awam kerana mengunci pagar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 23 Mei lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret hari ini selepas dikatakan terlibat dalam protes di perkarangan ibu pejabat SPR di Putrajaya.
“Majistret Nik Isfahanie Tasnim W Ab Rahman bebaskan dengan ikat jamin RM800 dengan seorang penjamin, sebutan kes seterusnya pada 31 Julai 2017,” kata Shazni kepada The Malaysian Insight.
Dalam pertuduhan terhadapnya, Shazni dikatakan mengunci pintu masuk SPR dengan rantai dan mangga.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda sehingga RM400 mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan.
Pada 9 Jun lalu, Shazni ditahan polis dan terpaksa bermalam di dalam lokap kerana kes ini.
Sebelum itu pada 23 Mei, Pemuda Pakatan Harapan (PH) bertindak merantai pagar di depan ibu pejabat SPR sebagai simbolik larangan terhadap penyerahan memorandum kepada Pengerusi SPR Hashim Abdullah.
Memorandum itu bertujuan menggesa badan bebas itu menarik semula larangan pengedaran salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik. – 18 Julai, 2017.