Ahli akademik diminta terbit lebih banyak jurnal pendidikan
Iklan
MENTERI Pendidikan Maszlee Malik menggesa ahli akademik tempatan memberi tumpuan hanya kepada menjalankan penyelidikan dan menerbitkan hasil kerja mereka di dalam jurnal akademik terkenal supaya diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan itu katanya, akan memberi manfaat kepada universiti tempatan dan meluaskan lagi peluang mendapat pembiayaan.
“Saya tak setuju pensyarah dan professor di universiti dibebankan dengan aktiviti berniaga untuk menganjur program universiti. Itu bukan kerja mereka.
“Tugas mereka ialah menghasilkan karya agung, jurnal dan penyelidikan pendidikan,” katanya pada forum “Bicara Minda, Malaysia Baharu & Pendidikan Negara” anjuran Sinar Harian di Shah Alam hari ini.
Maszlee menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator, Johan Jaafar yang meminta pandangan beliau mengenai cara untuk menampung universiti tempatan yang kekurangan dana.
Menurut Johan, beberapa ahli akademik di universiti tempatan digalakkan menceburi bidang perniagaan untuk membiaya program universiti.
Maszlee berkata ahli akademik yang dikenali dalam dunia akademik akan membawa masuk geran dari luar.
“Kalau mereka tak menulis, mereka tak akan dikenali dalam industri, jadi siapa akan beri mereka geran?
“Ramai profesor, penyelidik dari universiti dalam Ivy League tak tunggu pembiayaan kerajaan, sebaliknya merekalah yang ditawarkan geran,” kata ahli Parlimen Simpang Renggam itu. – 19 Julai, 2018.
Berita penuh di sini.