Iklan

Sistem peperiksaan sekolah menengah akan dipertingkatkan

Asila Jalil6 years ago19th Jul 2018Berita
Dr maszlee malik jan 20
Menteri Pendidikan Maszlee Malik membayangkan sistem peperiksaan sekolah menengah akan dipertingkatkan dan cukup untuk dijadikan asas bagi pelajar memohon melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2018.
Iklan

MENTERI Pendidikan Maszlee Malik membayangkan sistem peperiksaan sekolah menengah akan dipertingkatkan dan cukup untuk dijadikan asas bagi pelajar memohon melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Katanya, peningkatan sistem peperiksaan tersebut akan menjimatkan tempoh dua tahun persediaan ke universiti seperti yang ada sekarang.

Buat masa ini, pelajar sekolah menengah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum memohon kursus pra universiti sama ada Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau matrikulasi dan diploma.

Beliau memetik sistem pendidikan di negara lain di mana pelajar boleh memasuki universiti selepas 12 tahun berada di sekolah.

“Di Malaysia, 11 tahun di sekolah dan perlu dua tahun lagi sebelum boleh masuk universiti.

“Mereka hanya perlu 12 tahun. Kenapa? Kerana sistem pendidikan mereka dan peperiksaan mereka nilainya lebih tinggi dan boleh digunakan di negara lain,” kata Maszlee pada forum anjuran Sinar harian di Shah Alam hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga berkata satu lagi faktor yang membantu dalam sistem pendidikan mereka ialah musim persekolahan yang bermula pada September.

Berbanding di Malaysia, musim persekolahan bermula pada Januari selepas bercuti panjang pada Disember, kata Maszlee.

“Kajian ini kami akan jalankan untuk memastikan graduan sekolah tinggi kita diiktiraf di peringkat antarabangsa,” tambah beliau.

Maszlee juga berharap Malaysia akan menjadi tumpuan pelajar di rantau ini yang mahu melanjutkan pelajaran. – 19 Julai, 2018.

Iklan
Iklan