Iklan

Hampir 36% mahasiswa di negara ini sokong perbuatan rasuah, menurut kajian

Amin Iskandar7 years ago19th Jul 2017Berita
Budget tmiafif 22102015  (14 of 38)
Persepsi itu berpunca daripada mahasiswa di Malaysia yang tidak dididik dengan baik dan terpengaruh dengan model peranan yang salah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai, 2017.
Iklan

KAJIAN mengenai persepsi rasuah dalam kalangan mahasiswa di tiga universiti utama dalam negara membimbangkan, kata Institut Integriti Malaysia (Integriti).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Dr Anis Yusal Yusoff berkata, sekiranya kajian tersebut dijadikan kayu ukuran, Malaysia perlu mengkaji semula sistem pendidikan di negara ini.

“35.8% daripada responden menyatakan perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan adalah bukan satu kesalahan berbentuk rasuah

“Manakala 28.1% daripada responden beranggapan tidak menjadi kesalahan mengambil harta atau barangan pejabat seperti pemacu pena, toner, kertas dan lain-lain untuk kegunaan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian yang dijalankan itu memfokuskan tiga universiti utama untuk memahami persepsi serta pemahaman mahasiswa kini mengenai rasuah di Malaysia.

Universiti yang terlibat ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Daripada 402 responden, 33.1% adalah dari UKM, 47.5% dari USM dan 15.9% dari UiTM.

Menurut Anis, kajian itu juga mendapati 37.3% responden beranggapan mengemukakan tuntutan bagi tugas luar walaupun penginapan sudah disediakan penganjur adalah suatu bukan satu kesalahan.

“Bagi perbuatan ‘penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan’, sejumlah besar juga iaitu 35.8% mengatakan itu bukan rasuah,” katanya.

“20.6% daripada responden beranggapan untuk ‘terlibat secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga bagi mengisi jawatan kosong di jabatan’ sebagai perbuatan yang dibolehkan.”

Anis turut melahirkan kebimbangan dengan persepsi itu yang disebabkan mahasiswa di Malaysia tidak dididik dengan baik dan terpengaruh dengan “role model” yang salah.

“Mereka kelihatan seperti orang berjaya dalam kehidupan tetapi sebenarnya mendapat kejayaan dan kekayaan melalui jalan salah tidak sepatutnya dijadikan idola.

“Sekiranya ini pandangan para mahasiswa, bagaimana kita ingin mengharapkan mereka yang bukan dalam kalangan mahasiswa?” Soalnya.

Selain ibu bapa, beliau turut menyarankan ahli politik dan pemimpin masyarakat memainkan peranan mendidik masyarakat tentang keburukan dan bahaya rasuah. – 19 Julai, 2017.

Iklan
Iklan