Iklan

NGO akan serah buku ‘Islam dan Rasuah’ kepada peguam negara

Amin Iskandar7 years ago19th Jul 2017Berita
2017-07-18-photo-00000121
Hisbah mahu serahkan buku ‘Islam dan Rasuah’ terbitannya kepada Apandi susulan kenyataanya semalam yang mengatakan dia tidak takutkan sesiapa kecuali Allah. – Gambar Hisbah, 19 Julai, 2017.
Iklan

HISBAH Center for Reform (Hisbah) akan menyerahkan buku terbaru keluaran mereka “Islam dan Rasuah” kepada Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

Menurut Pengerusi Hisbah Ezam Mohd Nor, mereka mahu menyerahkan buku itu kepada Apandi susulan kenyataannya semalam yang mengatakan beliau hanya takut kepada Allah.

“Hisbah akan pastikan peguam negara orang pertama yang akan dapat buku terbaru ini yang mengkhususkan tentang pencurian harta negara,” kata bekas pengarah komunikasi strategik Kementerian Kewangan itu kepada The Malaysian Insight.

“Kami memohon peguam negara baca dan hayati sepenuhnya semua perintah Allah dan teladan Nabi Muhammad yang dengan jelas mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya siapa sahaja yang mencuri harta negara.”

Ezam berkata, buku keluaran Hisbah itu akan siap dicetak dalam masa dua minggu lagi.

Buku Islam dan Rasuah ditulis secara bersama antara Ezam dan ahli Hisbah dari Indonesia, Sapto Waluyo. Buku ini merupakan edisi kemaskini dengan memasukkan bab “Kecurian Wang Negara dan Kes 1MDB”.

“Kami akan terus hantar ke Pejabat Peguam Negara sebaik sahaja cetakan siap,” katanya.

Semalam Apandi menempelak amaran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad yang beliau perlu menjawab kerana menyembunyikan bukti siasatan berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Apandi berkata, beliau tidak takut kepada sesiapa termasuk Dr Mahathir kerana tiada apa yang disembunyikannya dalam kes 1MDB.

“Saya tidak takut kepada sesiapa termasuk Dr Mahathir.

“Saya tidak takut kepada manusia tetapi takut kepada Allah,” katanya dalam satu mesej pesanan ringkas kepada The Malaysian Insight.

Semasa ceramah PH di Shah Alam pada Isnin, Dr Mahathir berkata kepada 2,000 yang hadir, Apandi boleh dipertanggungjawabkan kerana menyembunyikan bukti berkaitan 1MDB.

“Jabatan Peguam Negara melakukan kesalahan besar. Anda semua akan tahu bila kita menang nanti,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi Bersatu berkata, apabila PH menang, mereka akan meminta peguam negara menjelaskan sama ada terdapat bukti jenayah disembunyikan.

Tahun lalu Apandi menyatakan Perdana Menteri Najib Razak tidak melakukan sebarang kesalahan dalam skandal 1MDB.

Beliau turut menolak saman yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat  (DoJ) bulan lalu, membawa kepada jumlah keseluruhan wang didakwa dicuri daripada 1MDB kepada AS$ 4.5 bilion, dengan sebab yang sama iaitu kekurangan bukti salah laku.

DoJ menyasarkan untuk merampas aset bernilai AS$1.7 bilion termasuk sebuah kapal layar bernilai AS$165 juta milik Low Thaek Jho juga dikenali sebagai Jho Low.

Pada Jun tahun lalu, DoJ memfailkan saman untuk merampas aset berkaitan bernilai lebih AS$1 bilion yang digambarkan sebagai  “konspirasi antarabangsa untuk penggubahan dana yang disalahgunakan” daripada 1MDB, merupakan kes terbesar yang pernah dibawa Inisiatif Pengambil Alihan Aset Kleptokrasi.

Saman AS itu turut membabitkan beberapa orang warga Malaysia termasuk “Malaysian Official 1”, yang kemudiannya disahkan menteri kabinetnya, Abdul Rahman Dahlan sebagai Najib Razak.  – 19 Julai, 2017.

Iklan
Iklan