Iklan

Felda bukan lagi kubu kuat Umno, kata Muhyiddin

Amin IskandarMuzliza Mustafa7 years ago19th Jul 2017Berita
Iklan

KERUSI Parlimen yang mempunyai kawasan tanah rancangan Felda bukan lagi kubu kuat Umno, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata ini kerana Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) menerima sambutan yang baik daripada peneroka dalam program yang dijalankan di kawasan Felda.

“Kawasan ini ikut sejarah yang lepas sebahagian besarnya dimenangi Umno. Kawasan Melayulah kubu kuat Umno.

“Saya nak bagi berita yang tak berapa baik (untuk) Barisan Nasional (BN) jangan mimpi macam tu lagilah,” kata ahli Parlimen Pagoh itu pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Petaling Jaya petang ini.

Beliau berkata maklum balas yang diterimanya termasuk dalam program “Jelajah Semarak Kasih” anjuran Bersatu yang berlangsung sejak awal tahun bagi menyasarkan kawasan Felda.

“Kerana kita dah dapat maklumbalas yang cukup jelas.

“Sambutan yang diberikan ramai peneroka di tanah rancangan itu kepada Pakatan Harapan dan PPBM cukup hebat,” katanya.

Terdapat 54 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda dan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) hanya memenangi enam kerusi iaitu Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Muhyiddin yang juga naib presiden PH berkata, kawasan Felda akan menjadi tumpuan gabungan pembangkang baharu itu pada PRU14.

“Kerana kawasan Parlimen yang ada tanah rancangan Felda ini lebih kurang 54 kawasan dan ia merupakan kawasan tumpuan,” katanya.

Sebelum ini, kemelut kepimpinan yang melanda Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) turut memberi kesan kepada peneroka Felda yang berhutang kepada syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia itu. – 19 Julai, 2017.

Iklan
Iklan