Isu LGBT wajar dibincang secara terbuka, kata sarjana Islam
Iklan
ISU Lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia akan menjadi kayu ukur terhadap sejauh mana tahap keterbukaan dan liberal kerajaan baharu Pakatan Harapan, kata seorang sarjana Islam.
Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) Ahmad Farouk Musa berkata, sudah tiba masanya isu yang menyelubungi golongan itu dibicangkan secara terbuka, lebih-lebih lagi selepas berlaku perubahan kerajaan.
Beliau berkata isu membabitkan golongan LGBT sering kali dikaitkan dengan fahaman liberalisme kerana dilihat sebagai kayu ukur terhadap tahap liberalisme seseorang.
“Apabila anda melihat seseorang yang liberal, perkara paling penting adalah untuk boleh menerima kepelbagaian,” katanya.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita berbincang lebih lagi mengenai perkara ini, memandangkan kita sudah ada seorang menteri hal ehwal agama yang berfikiran terbuka di negara ini selain dianggap sebagai liberal (dalam pandangannya),” katanya pada forum bertajuk “Is it time to look beyond the idea of liberal Islam?” di Kuala Lumpur, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini berkata golongan LGBT tidak wajar didiskriminasi di tempat kerja.
Isu itu dibangkitkan Mujahid selepas Numan Afifi, pegawai kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman, seorang aktivis LGBT dipaksa meletak jawatan sebagai pegawai media.
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak boleh dinafikan meskipun mereka melakukan dosa.– 22 Julai, 2018.