Iklan

Persatuan anak peneroka gesa Putrajaya tubuh RCI siasat Felda

Amin Iskandar7 years ago20th Jul 2017Berita
Mazlan aliman 050317 tmiseth 001
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman mempersoalkan mengapa skandal Felda yang sedang berlaku depan mata cuba disembunyikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.
Iklan

SELEPAS Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga tukaran mata wang asing atau forex, sebuah pertubuhan mendesak perkara sama dilakukan terhadap Felda.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, ini kerana skandal dalam Felda juga merupakan yang terbesar dalam sejarahnya.

“Jika skandal forex lebih 20 tahun lalu, yang dikaitkan pada zaman Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri boleh dikorek semula, mengapa skandal Felda yang sedang hangat diperkatakan dan berlaku depan mata, mahu cuba disembunyikan?” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

“Ia melibatkan 112,635 peneroka Felda, yang kini sedang menanggung akibatnya.”

Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Selasa lalu mengumumkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V memperkenankan pembentukan RCI bagi menyiasat kerugian ditanggung BNM dalam skandal forex lebih 10 tahun lalu. 

JPM berkata yang RCI akan menentukan kesahihan dakwaan kerugian BNM disebabkan spekulasi forex; menentukan sama ada aktiviti BNM dalam perdagangan forex melanggar Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang lain; dan menentukan sama ada wujudnya cubaan melindungi kerugian itu.

Mazlan berkata, di antara 2012 hingga 2016, terlalu banyak dakwaan dibuat mengenai penyelewengan dan salah guna di Felda, Felda Global Ventures Holdings (FGV) dan anak syarikat lain.

“Pengerusi lembaga pengarah Felda, FGV dan FIC (Felda Investment Corporation) dalam tempoh tersebut adalah Isa Samad, tokoh politik yang dilantik Perdana Menteri Najib Razak,” katanya.

Katanya, Anak turut menyokong SPRM untuk mendakwa segera individu dan tokoh yang terlibat isu pembelian hotel empat bintang di Kensington, London pada 2014.

“Pembelian hotel 62 bilik bernilai RM330 juta didakwa jauh lebih mahal daripada harga sebenar, menyebabkan FIC mengalami kerugian besar.

“Pada masa sama, Anak mendesak SPRM menyiasat semula pembelian pangsapuri 198 unit di Bayswater London pada 2013 dengan harga RM538 juta, juga jauh lebih mahal daripada harga pasaran,” katanya.

Mazlan berkata, pembelian pangsapuri di Bayswater juga sudah dilaporkan kepada SPRM sebelum ini.

“Anak yakin ada ‘bukti dan penemuan baru’ untuk melengkapkan siasatan pembelian aset ratusan juta ringgit yang amat mencurigakan itu,” katanya. – 20 Julai, 2017.

Iklan
Iklan