Iklan

Hadi gesa rakyat tolak parti 'khadam penjajah'

Amin Iskandar7 years ago20th Jul 2017Berita
Hadi awang 280615 tmihasnoor 03
Wajib menolak parti yang menjemput penjajah untuk meruntuhkan asas Perlembagaan, kata Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Julai, 2017.
Iklan

BEBERAPA hari selepas Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan kemelut kepimpinan mereka, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa rakyat Malaysia agar menolak parti politik yang mahu menjemput “penjajah datang semula”.

Tanpa menamakan sesiapa, ahli Parlimen Marang itu berkata terdapat parti politik dalam negara ini yang mahu menawan Putrajaya dengan menggunakan “matlamat menghalalkan cara”.

“Wajib menolak mana-mana parti atau sesiapa sahaja yang sanggup menjadi khadam kepada pihak yang mahu meruntuhkan asas Perlembagaan atau menjadi khadam kepada penjajah atau menjemput penjajah datang semula,” kata Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

“(Mereka) berlumba-lumba berebut kerusi tanpa memilih cara dan apa yang hendak dilakukan setelah mendapat kerusi dan tidak mempedulikan walaupun berpegang kepada konsep ‘matlamat menghalalkan cara’ yang salah.”

Minggu lalu, PH mengumumkan senarai kepimpinan mereka dalam Majlis Presiden dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi, Anwar Ibrahim sebagai ketua umum dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Isnin lalu, PH meneruskan program jelajah penerangan “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” mengenai skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Dalam program jelajah ini, penerangan diberikan mengenai skandal 1MDB dan dakwaaan terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

Dalam kenyataannya hari ini Hadi berkata, terdapat juga pihak yang sanggup menjadi khadam kepada musuh Islam semata-mata karana mahu memegang kuasa di Putrajaya.

“Ada juga yang berlumba ke arahnya sehingga bersedia menjadi khadam kepada sesiapa sahaja, termasuk musuh Islam yang memonopoli undi satu kaum dalam masyarakat majmuk, mahu menipu umat Islam dan memporak-perandakannya.

“Mereka itu memilih kalangan umat Islam yang sanggup menawarkan apa sahaja khidmat menjadi khadam, termasuk bersedia menjadi tukang pukul, memaki hamun, menjadi penyapu atau tukang cuci kotoran, asalkan sampai ke Putrajaya,” katanya dipercayai merujuk kepada hubungan di antara parti serpihan PAS, Amanah dan DAP.

Hadi turut mempersoalkan mengapa masyarakat bukan Islam di Malaysia tidak mahu mencuba pendekatan Islam dalam urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan tanpa meninggalkan agama masing-masing.

“Mengapa masyarakat bukan Islam di sini boleh berjuang menegakkan ideologi yang dicipta pemikir barat seperti Adam Smith, Karl Mark, dan lain-lain yang bukan daripada agama dan bangsa mereka?” soal Hadi.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pada Isnin mengatakan Hadi kini sudah “berkawan baik” dengan Presiden Umno Najib Razak. – 20 Julai, 2017.

Iklan
Iklan