Iklan

NGO hak asasi mahu perkahwinan kanak-kanak diharamkan segera

Gan Pei Ling6 years ago26th Jul 2018Berita
child marriage - AFP
PAKATAN Harapan (PH) harus berhenti memberi alasan dengan melengah-lengahkan larangan perkahwinan kanak-kanak kerana gabungan itu boleh dengan segera menaikkan had umur perkahwinan di lapan negeri dan wilayah persekutuan yang ditadbirnya, kata kumpulan hak asasi.– Gambar AFP, 26 Julai, 2018.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) harus berhenti memberi alasan dan melengah-lengahkan pengharaman perkahwinan kanak-kanak kerana gabungan itu boleh dengan segera menaikkan had umur perkahwinan di lapan negeri dan wilayah persekutuan yang ditadbirnya, kata kumpulan hak asasi.

“Apa yang kita perlukan adalah larangan perkahwinan kanak-kanak. Tiada yang positif tentangnya,” kata Sharmila Sekaran, pengasas bersama Voice of the Children.

“Ia tidak menguntungkan kanak-kanak, keluarga kanak-kanak itu dan masyarakat. Ia juga memberi kesan terhadap orang Islam dan bukan Islam.”

Sebagai kerajaan pemerintah, PH boleh mulakan usaha itu dengan meminda Akta Umur Dewasa 1971 untuk menghapuskan pengecualian bagi perkahwinan dan penceraian di bawah Seksyen 4(a) akta tersebut, katanya.

Sharmila berkata Seksyen 10 Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang membenarkan kakak-kanak bukan Islam berumur atas 16 tahun tetapi bawah 18 tahun untuk berkahwin dengan kebenaran ketua menteri atau menteri besar harus dimansuhkan bersama-sama undang-undang keluarga Islam bagi setiap negeri yang membenarkan kanak-kanak lelaki berusia 18 tahun ke bawah dan kanak-kanak perempuan berusia 16 tahun ke bawah berkahwin dengan kebenaran hakim Mahkamah Syariah.

“(PH) boleh menentukan perkara tersebut di negeri-negeri ini. Ia tidak perlu menunggu untuk setiap satu negeri melaksanakannya,” kata Sharmila.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Malaysian akan mengharamkan perkahwinan kanak-kanak, tetapi sehingga undang-undang boleh dipinda, kerajaan sedang berusaha untuk segera mengetatkan peraturan bagi memastikan keselamatan semua kanak-kanak di bawah umur.

Beliau berkata terdapat banyak undang-undang yang perlu dipinda untuk mengharamkan amalan itu tetapi “rancangan jangka pendek” buat masa sekarang adalah menguatkuasakan prosedur operasi standard bagi agensi dan pegawai yang terlibat dalam kes sedemikian.

Kumpulan hak asasi wanita Islam Sisters In Islam (SIS) menolak dakwaan oleh kerajaan yang pengharaman perkahwinan kanak-kanak memerlukan proses yang panjang kerana ia melibatkan pindaan kedua-dua undang-undang negeri dan Persekutuan.

Pengurus Komunikasi SIS Majidah Hashim berkata apa yang diperlukan untuk mengharamkan perkahwinan kanak-kanak adalah kesungguhan politik, sambil menambah yang Malaysia ketinggalan di belakang negara majoriti Islam lain seperti Algeria, Bangladesh dan Maghribi dalam soal pengharaman perkahwinan membabitkan individu berusia di bawah 18 tahun.

“Apabila adanya kesungguhan politik, tiada yang mustahil,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 diluluskan kurang empat bulan. SIS sudah 20 tahun melobi bagi menghentikan perkahwinan kanak-kanak.”

Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar berkata beliau bersedia untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengharamkan perkahwinan kanak-kanak dalam sidang Dewan Rakyat ini.

“Saya bersedia untuk sokong RUU seumpama itu dalam sidang kali ini. Dan untuk memastikan moratorium ditegakkan semasa interim,” katanya.

Ahli Parlimen lain yang turut menyokong langkah pengharaman perkahwinan kanak-kanak termasuk Charles Santiago (Klang) dan Kasthuri Patto (Batu Kawan).

Pada Ahad, akhar Berita Harian melaporkan yang perkahwinan membabitkan budak perempuan 13 tahun dari Kelantan dan remaja lelaki 19 tahun berlangsung di selatan Thailand bulan lalu.

Perkahwinan itu dilangsungkan sehari selepas lelaki berusia 41 tahun dari Kelantan mengahwini budak 11 tahun warga Thailand sebagai isteri ketiganya.

Selain didenda RM1,800 kerana berkahwin dengan kanak-kanak tanpa kebenaran Mahkamah Syariah, tiada tindakan lain dikenakan terhadap pengusaha getah itu. Pihak berkuasa belum memulakan siasatan terhadap berkahwinan membabitkan kedua-dua remaja tersebut.

Majidah berkata isu perkahwinan kanak-kanak tidak dikritik secara lantang disebabkan oleh kurangnya kesedaran orang ramai tentang bagaimana kanak-kanak tidak bersedia berkahwin pada usia muda, dan perbuatan itu merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak.

“Malaysia memerlukan program jangkauan yang berkesan dan kempen pendidikan awam untuk menunjukkan kerosakan sosial dan ekonomi yang tidak boleh diperbaiki disebabkan oleh perkahwinan kanak-kanak bagi mengubah pemikiran masyarakat,” katanya.– 26 Julai, 2018.

Iklan
Iklan