Iklan

Azalina cabar Pakatan kembalikan klausa halang tukar agama anak

Asila Jalil6 years ago26th Jul 2018Berita
Azalina othman 080118 tmiseth 02
Azalina Othman Said merujuk kepada Klausa 88A Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 (LRA) yang menyatakan kanak-kanak perlu memeluk agama yang dianutinya sebelum ibu bapanya bercerai. Klausa itu diperjuangkan wakil rakyat Pakatan Harapan ketika mereka jadi pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2018.
Iklan

BEKAS menteri undang-undang Azalina Othman Said hari ini mencabar Putrajaya untuk memperkenalkan semula peruntukan undang-undang menghalang penukaran agama anak tanpa persetujuan kedua-dua ibu bapa dilakukan salah seorang mereka yang memeluk Islam. 

Azalina merujuk kepada Klausa 88A Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan & Perceraian) 1976 (LRA) yang menyatakan kanak-kanak perlu memeluk agama yang dianutinya sebelum ibu bapanya bercerai.

“Saya mahu kata kepada (ahli Parlimen kerajaan), memandangkan anda dah berkuasa sekarang, buatlah pindaan berkaitan klausa ini.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk kerajaan beri komitmen kerana saya percaya ini akan menyelesaikan banyak salah faham,” kata Azalina pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata ketika ahli Parlimen Pakatan Harapan jadi pembangkang, mereka selalu mempersoalkan pentadbiran Barisan Nasional mengapa klausa pindaan dalam LRA itu tidak dimasukkan.

Beliau memetik desakan dilakukan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran.

“Inilah masanya untuk perubahan dilakukan dan inilah cabaran saya kepada kerajaan,” kata Azalina yang juga ahli Parlimen Penggerang itu.

Pindaan ke atas LRA diluluskan pada Ogos tahun lepas tanpa Klausa 88A, mencetuskan kemarahan pembangkang PH ketika itu.

Klausa itu digugurkan daripada LRA kerana dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Aktivis dan wakil rakyat PH mendesak klausa itu dimasukkan susulan beberapa kes berprofil tinggi melibatkan penukaran agama anak selepas perceraian ibu bapa.

Salah satu kes yang mencuri tumpuan rakyat adalah M Indira Gandhi yang ketiga-tiga anaknya memeluk Islam kerana suaminya. Mahkamah sivil dan Syariah mengeluarkan perintah jagaan berlainan untuk anak-anak itu.

Awal tahun ini, Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman yang penukaran agama ketiga-tiga anak Indira itu tidak sah dan terbatal.

Penghakiman itu menimbulkan reaksi berbeza peguam dan kumpulan orang Islam yang mengatakan ia boleh digunakan kerajaan untuk memasukkan Klausa 88A ke dalam LRA.

PAS juga menyuarakan bantahan kepada apa sahaja usaha untuk mengembalikan klausa itu, mendakwa ia boleh mencetuskan kemarahan orang Islam. – 26 Julai, 2018.

Iklan
Iklan