Iklan

Shuhaimi banyak mengajar saya pada PRU14, kata Zawawi

Asila Jalil6 years ago27th Jul 2018Berita
Mohd zawawi ahmad mughni july 26
Calon Pakatan Harapan bagi PRK Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Julai, 2018.
Iklan

CALON Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, beliau banyak memperoleh ilmu mengenai politik apabila diberi tugas oleh Mat Shuhaimi Shafiei pada kempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Zawawi mengetuai bilik operasi Shuhaimi, bertindak sebagai setiausaha jentera pilihan raya dan merupakan wakil calon ketika berkempen semasa PRU14.

Pada mulanya, Zawawi berkata, beliau tertanya-tanya mengapa diamanahkan dengan tugasan itu, malah pernah menyangka beliau mengambil kesempatan.

“Akhirnya, saya melihat pergelutan beliau (Shuhaimi) dalam melalui detik-detik akhirnya. Beliau tidak dapat berjalan di atas pentas.

“Saya kemudian memahami ia adalah platform untuk memindahkan segala pengetahuannya mengenai politik kepada saya,” katanya pada ceramah di Shah Alam malam tadi.

Beliau menambah beliau mampu mendekatkan diri dengan pengundi di Sungai Kandis kerana pengalamannya dalam menguruskan kerusi negeri pada PRU14.

“Tolong pastikan undian anda betul supaya kami dapat meneruskan pembangunan yang dirancang oleh Allahyarham Shuhaimi,” kata Zawawi.

Shuhaimi meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai. Shuhaimi menerima 23,998 undi bagi mengalahkan calon BN Kamaruzzaman Johari (11,518) dan PAS, Yusof Abdullah (7,573). Hanafiah Husin daripada PRM hanya mengumpulkan 76 undi daripada 50,800 jumlah pengundi.

Pada PRK kali ini Zawawi (PKR) akan bertembung pertandingan tiga penjuru melawan Lokman Noor Adam (BN) dan K Murthy (bebas) bagi kerusi negeri.

Pengundian adalah Sabtu depan. – 27 Julai, 2018.

Iklan
Iklan