Iklan

Umno tak banyak bantu perjuangkan RUU355, kata PAS

Asila Jalil6 years ago27th Jul 2018Berita
Iklan

WALAUPUN bersetuju tentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau RUU355, Naib Ketua Pemuda PAS Fadhli Shaari berkata Barisan Nasional dan Umno tidak banyak membantu dalam hal membabitkan rang undang-undang (RUU) itu di Parlimen, tahun lalu.

Beliau berkata BN tidak memberi laluan agar RUU persendirian itu dibacakan untuk kali pertama di Parlimen walaupun terdapat usaha ke arah itu.

“Maaf kepada sahabat-sahabat dari Barisan Nasional dan Umno. Umno tidak menolong sepenuhnya pada masa itu. Oleh yang demikian, rang (undang-undang) itu tidak dapat pergi ke peringkat selanjutnya dan akhirnya ia sampai ke situ sahaja.

“Bagi pihak kita, PAS telah melaksanakan tanggungjawabnya iaitu rang undang-undang ini telah dibawa oleh ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi Awang),” katanya pada forum anjuran Sinar Harian di Shah Alam, hari ini.

6 April tahun lalu, Abdul Hadi membentangkan RUU kontroversi di Parlimen selepas diberikan kebenaran oleh kerajaan ketika itu, sekali gus menjadi RUU persendirian pertama dibentangkan oleh ahli Parlimen pembangkang di Parlimen.

Usul RUU355 mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pelaku kesalahan syariah.

Bagaimanapun Speaker ketika itu Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang Dewan Rakyat tanpa memberitahu tarikh ia akan disambung semula.

Penasihat Agama Umno Selangor Rosdi Long berkata Umno sentiasa menyokong RUU itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengapa Umno tidak mengambil tindakan susulan terhadap RUU itu di Parlimen, Rosdi berkata beliau bukan ahli Parlimen, namun berharap agenda RUU itu dapat diteruskan di Parlimen oleh kerajaan baharu.

Sementara itu, Fadhli yang juga ahli Parlimen Pasir Mas menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengemukakan rancangan penambahbaikan Mahkamah Syariah di negara ini.

“Dulu, Pakatan Harapan sering memberikan ungkapan bahawa Rang Undang-Undang Akta 355 yang dicadangkan oleh PAS ini sangat tidak adil. Maka hari ini, kemukakan cadangan penambahbaikan Mahkamah Syariah yang seperti anda katakan itu adil,” katanya.

Beliau juga mendakwa sikap yang ditunjukkan DAP hari ini seperti tidak senang undang-undang Syariah diperkasakan di bawah kerajaan baharu.– 27 Julai, 2018.

Iklan
Iklan