Jawatankuasa pembaharuan sedia laporan tambahan kepada PM
Iklan
JAWATANKUASA Pembaharuan Institusi (IRC) telah menerima pembentangan daripada 23 institusi dan kini sedang menyediakan laporan tambahan untuk dihantar kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ahli IRC Dr Shad Saleem Faruqi memberitahu The Malaysian Insight, mereka telah menghantar “Laporan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi” kepada Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) baru-baru ini, selepas dua bulan mesyuarat dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Cabarannya kini adalah kita mempunyai kira-kira 23 institusi lagi yang menghantar pembentangan mereka kepada kami. Adakah kami abaikan ini? Atau adakah kami terus bekerja?
“Kami menyediakan laporan tambahan dan akan hantarkan kepada perdana menteri dengan topik tambahan yang sudah kami siapkan sebahagiannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dr Shad berkata ahli jawatankuasa berkenaan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir namun tiada tempoh masa ditetapkan berhubung bila perdana menteri akan kembali kepada jawatankuasa mengenai perkara itu.
“Beliau memaklumkan akan bertemu kami semula selepas berudning dengan rakannya. Kini semua terpulang kepada beliau,” kata Dr Shad.
Ditanya sama ada pembaharuan itu membabitkan tindakan terhadap individu yang mempunyai kaitan dengan institusi, beliau berkata terdapat prosedur yang perlu dipatuhi.
“Jangan lupa bila ia berkaitan individu, ada dia antara mereka mempunyai tempoh keselamatan yang dilindungi perlembagaan.
“Jika kerajaan mahu membuang mereka, ia perlu mengikut prosedur,” katanya.
Dr Shad menambah, jawatankuasa itu tidak terlibat dalam menentukan mana-mana individu yang akan digugurkan atau dilantik tetapi mereka akan berikan pandangan sekiranya diminta.
Dalam laporan yang dikemukakan kepada CEP, ia mengkaji beberapa bidang pembaharuan iaitu Parlimen, pemilihan, badan kehakiman, pegawai undang-undang dan perkhidmatan perundangan, anti-rasuah, polis dan imigresen, komunikasi, media dan maklumat, serta institusi hak asasi manusia dan undang-undang.
Selain Dr Shad, ahli jawatankuasa yang lain termasuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan KC Vohrah yang mempengerusikannya, pesuruhjaya Suhakam dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan Brigedier Jeneral (B) Mohamed Arshad Raji dan presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia, Ambiga Sreenevasan. – 30 Julai, 2018