Iklan

Pakar gesa pendekatan lebih berhikmah untuk kekang Islamofobia

Asila Jalil6 years ago29th Jul 2018Berita
Shad saleem faruqi tmi 01
Kita perlu ingat yang kata-kata dan karakter kita adalah dakwah terbaik. Ia bukan soal apa yang anda kata, ia soal apa yang anda buat, kata Profesor Dr Shad Saleem Faruqi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 29 Julai, 2018.
Iklan

SIKAP “mendesak yang melampau” orang Islam dalam isu tertentu adalah salah satu punca Islamofobia semakin berkembang, kata ahli akademik dalam satu forum semalam.

Mereka juga bersetuju yang pandangan prejudis terhadap Islam di seluruh dunia semakin buruk, antara puncanya disebabkan kekurangan pengetahuan budaya lain tentang ajaran sebenar Islam dan kegagalan mengadakan perbincangan objektif yang menyeluruh.

Pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Dr Shad Saleem Faruqi berkata di Malaysia, reaksi orang Islam terhadap isu tertentu adalah punca kemarahan orang bukan Islam.

Beliau menggunakan contoh kes melibatkan penukaran agama anak kepada Islam tanpa kebenaran kedua ibu bapa yang gagal ditangani dengan baik sehingga menimbulkan kemarahan orang bukan Islam.

Beliau memetik penghakiman berbeza dikeluarkan mahkamah Syariah dan sivil dalam kes M Indira Gandhi apabila ketiga-tiga anaknya ditukar agama kepada Islam tanpa persetujuannya oleh bekas suami.

Shad Saleem mempersoalkan bagaimana mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa jika salah seorang yang terlibat dalam kes adalah bukan Islam, sedangkan Perlembagaan Malaysia menetapkan yang mahkamah Syariah hanya boleh mendengar kes melibatkan orang Islam.

“Jika dalam mana-mana kes melibatkan dua pihak atau lebih daripada dua pihak dan ada antaranya bukan Islam, jelas sekali mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa,” kata Profesor Undang-Undang Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya itu.

Beliau berkata demikian pada forum Is Islamophobia getting worse?” anjuran Islamic Renaissance Front di Kuala Lumpur semalam.

Shad Saleem juga berkata terdapat sebilangan orang Islam yang dilihat terlalu agresif dalam kerja dakwah mereka.

“Kita perlu ingat yang kata-kata dan karakter kita adalah dakwah terbaik. Ia bukan soal apa yang anda kata, ia soal apa yang anda buat,” katanya.

Seorang lagi ahli panel forum, Jeffrey Kenney, profesor Kajian Agama di DePauw University berkata Islamofobia jelas ketara dalam perbincangan awam mengenai isu kawalan senjata dan keganasan di Amerika Syarikat.

Beliau memetik kajian di AS yang mendapati lebih banyak kematian disebabkan tembakan berlaku kerana senjata api berbanding keganasan, tetapi fokus perbincangan awam adalah kepada keganasan.

“Tak masuk akal orang fokus kepada keganasan, walaupun isu keganasan senjata api timbul dalam banyak kejadian.

“Tetapi kita tak buat apa-apa dan tidak ada perbincangan,” kata Kenney yang menambah sangat membimbangkan apabila Islamofobia dianggap satu kewajaran oleh pihak tertentu.

Kenney menambah wujud bukti yang mereka yang memiliki kawan atau kenalan beragama Islam kurang menyokong Islamofobia.

“Apa yang kita tahu adalah idea seseorang tentang Islam bertambah baik jika mereka kenal sesiapa yang beragama Islam. Mereka yang kenal orang Islam biasanya tidak ada pandangan yang Islamofobia.” – 29 Julai, 2018.

Iklan
Iklan