Selepas skandal RM100 juta, KBS masih teruskan sistem tender terus
Iklan
KEMENTERIAN Belia dan Sukan masih mengamalkan proses pemberian tender secara terus bagi semua kontraknya walaupun seorang pegawai kanan kementerian didakwa menyeleweng sehingga RM107 juta dana kerajaan pada 2016.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Gim berkata RM357.80 juta daripada RM777.14 juta pemerolehan kementerian daripada 2016 hingga 2018 dibuat melalui proses tender terus atau tender terhad berbanding proses tender terbuka.
“Hakikatnya pada 2017, jumlah pemerolehan diperolehi menerusi tanpa sistem tender terbuka mencecah RM264.2 juta, melebihi jumlah diperolehi menerusi tender terbuka iaitu RM173.7 juta,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sim menambah yang kementerian akan memulakan semula rancangan Pengurusan Risiko Korupsi (CRM) bagi memastikan salah laku dalam kementerian dapat dielakkan. Rancangan itu dihentikan pada Mei 2017 oleh pentadbiran terdahulu.
“Bagaimanapun di bawah pentadbiran baharu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengarahkan supaya CRM dilaksanakan lagi,” katanya menambah yang banyak tender terus diberikan sempena Sukan Sea yang diadakan tahun lepas.
Katanya, pasukan pentadbiran kementerian yang diterajui PH juga mendapati terdapat ruang untuk tambah baik tadbir urus, dan sudah memulakan rombakan perubahan besar-besaran di peringkat pentadbiran.
“Ia perlu dilakukan serta merta kerana isu ini melibatkan pengurusan dana negara serta kepentingan belia negara kita,” katanya.
Sim juga berkata kementerian itu adalah antara yang menerima peruntukan kecil daripada kerajaan persekutuan dan salah laku yang berlaku menyebabkan dana itu sukar digunakan sepenuhnya untuk pembangunan sukan dan belia negara.
“Kerana itu, kami komited untuk memerangi salah laku sebegitu supaya kita boleh beri tumpuan guna sumber terhad kepada perkara yang penting,” katanya. – 2 Ogos, 2018.