Kemungkinan F1 kembali hanya salah faham, kata Syed Saddiq
Iklan
TERDAPAT salah faham berhubung kemungkinan perlumbaan Formula Satu (F1) akan kembali ke negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman.
Katanya, kerajaan kini memfokuskan kepada sukan permotoran kerana ia menjana pendapatan kepada negara, tidak seperti F1.
“Saya rasa ada salah faham. Tun (Dr Mahathir Mohamad) berkata sekarang ia (F1) tidak menjana pendapatan dan kos (penganjuran) terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Parlimen hari ini.
Syed Saddiq berkata kerajaan membelanjakan sehingga AS$70 juta untuk menanggung kos perlumbaan itu.
Beliau mengulas berhubung laporan media yang menyebut Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan perlumbaan itu akan kembali ke negara ini.
Beliau juga berkata kerajaan bukan hanya mahu melahirkan pemandu, tetapi juga turut melahirkan jurutera, pembangun perisian bagi industri permotoran.
“Itu sebabnya dalam pembentangan semalam, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan KBS akan bekerjasama dalam mengubah SIC dan Sepang daripada hab sukan permotoran kepada bandar sukan permotoran.
“Ia juga mempunyai lebih banyak pembangunan dan lebih banyak peluang pekerjaan. Ini juga merupakan keputusan yang dibuat oleh Kabinet,” tambahnya.
Semalam Dr Mahathir Mohamad berkata kemungkinan perlumbaan itu akan kembali dianjurkan ketika ditanya pemberita berhubung pemasangan lampu limpah di sepanjang SIC boleh dilihat sebagai petanda perlumbaan berprestij itu akan kembali dianjurkan.
Dr Mahathir bagaimanapun menarik perhatian bahawa kadar pencahayaan lampu limpah yang lebih tinggi diperlukan sekiranya SIC mahu menjalankan perlumbaan pada sebelah malam. – 2 Ogos, 2018