Iklan

Apa salahnya saya jadi pengerusi Khazanah, soal Dr Mahathir

Asila Jalil6 years ago2nd Aug 2018Berita
Iklan

PENTADBIRAN baharu sedang cuba untuk meletakkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) di landasan yang betul dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merasakan tidak ada salahnya beliau mempengurusikan dana kekayaan berdaulat itu.

Dr Mahathir berkata beliau yang memulakan Khazanah dan menegaskan dirinya hanya seorang pengerusi, bukannya ketua pegawai eksekutif.

“Saya adalah orang yang memulakan Khazanah dan kini mahu memacu pada landasan yang betul. Apa salahnya dengan saya (dilantik ke jawatan itu)?

“Bukannya saya menjadi ketua pegawai eksekutif, saya tidak akan menerima gaji RM7 juta,” katanya.

Pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Dr Mahathir sebagai pengerusi baharu Khazanah, sementara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebagai salah seorang pengarahnya.

Tiga pengarah lain ialah Mohd Hassan Marican, Dr Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin.

Minggu lepas, Khazanah mengesahkan peletakan jawatan kesemua ahli lembaga pengarahnya iaitu Azman Mokhtar, Md Nor Md Yusof, Mohamed Azman Yahya, Mohammed Azlan Hashim, Raja Arshad Raja Uda, Andrew Sheng Len Tao, Nazir Abdul Razak, Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

Malaysian Insight sebelum ini melaporkan yang kesemua ahli lembaga pengarah menghantar surat peletakan jawatan kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Hari ini, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4) menggesa Putrajaya untuk memikirkan semula pelantikan Dr Mahathir sebagai pengerusi ahli lembaga pengarah Khazanah.

Pengarah eksekutifnya Cynthia Gabriel berkata ia menimbulkan persoalan serius mengenai struktur tadbir urus korporat dan amalan tadbir urus yang baik dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan bukan hanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC).– 2 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan