Iklan

Bersabar dengan kerajaan baharu, kata PM kepada lantikan politik 

Asila Jalil6 years ago2nd Aug 2018Berita
Mahathir mohamad giacc 100718 tmiseth 03
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan kepada lantikan politik bayaran gaji mereka akan dipercepatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2018
Iklan

LANTIKAN politik kerajaan baharu Pakatan Harapan yang masih belum menerima gaji atau surat tawaran diminta bersabar.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan meminta mereka yang terlibat untuk membayar gaji dan mengeluarkan surat tawaran untuk mempercepatkan perkara itu namun menambah terdapat prosedur yang akan mengambil masa di bawah pentadbiran baru.

“Saya akan minta mereka buat. Tetapi lantikan perlu bersabar,” katanya kepada pemberita di Parlimen selepas mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.

Katanya, kelewatan sememangnya dijangkakan kerana kerajaan persekutuan sudah berubah selepas enam dekad, yang mana ia sesuatu yang jarang berlaku.

“Kita sudah menukar kerajaan selepas 60 tahun, ia bukan sesuatu yang kita buat setiap hari dan ia hanya seklai dalam 60 tahun, jadi lain kali akan jadi 60 tahun lagi.

“Ada perkara yang perlu diteliti, beberapa perkara yang perlu ditandatangan,” tambahnya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan lantikan ini akan menerima gaji mereka.

“Kita akan berikan,” kata Dr Mahathir.

Lantikan politik dilaporkan masih belum menerima gaji mereka selepas dua bulan bertugas.

Lantikan ini termasuklah setiausaha dan pembantu kepada 13 menteri yang mengangkat sumpah dua minggu selepas PH mengambil alih Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 14. – 2 Ogos, 2018

Iklan
Iklan