Generasi kedua Felda desak pengerusi, lembaga pengarah FGV disingkirkan
Iklan
SUARA Generasi ke-2 Felda mendesak Perdana Menteri Najib Razak agar menyingkirkan pengerusi dan ahli lembaga pengarah Felda Global Holdings Berhad (FGV) kerana meneruskan legasi bekas pengerusi Isa Samad.
Penasihatnya, Zulkefli Nordin berkata pemangku pengerusi FGV Dr Sulaiman Mahbob tidak membersihkan ahli lembaga pengarah FGV seperti yang diharapkan.
“Di peringkat awal semasa beliau baru dilantik, saya beri sepenuh kepercayaan untuk buat perubahan di FGV. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
“Kami rasa terkilan dengan apa yang berlaku di FGV sekarang. Kalau dulu bila Shahrir Samad alih Felda, Alhamdulillah, Shahrir buat perubahan yang amat drastik. Dia bersihkan ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation (FIC).
“Tetapi ini tidak berlaku di FGV apabila pengerusi baharu dilantik. Beliau mengekalkan beberapa nama yang mempunyai sejarah kontroversi,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Zulkefli bagaimanapun berkata, dua wakil Felda yang dilantik baru-baru ini sebagai ahli lembaga pengarah FGV bolehlah dikekalkan kerana mereka masih baharu dan mewakili suara peneroka.
The Malaysian Insight masih mencuba untuk mendapatkan komen balas daripada Sulaiman.
Ketua Penerangan Suara Generasi Ke-2 Felda Zainuddin Zainal menambah, masalah yang berlaku di FGV sebelum ini bermula apabila Isa mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad untuk bercuti tanpa sebab-sebab yang munasabah.
“Selepas tekanan diberikan pelbagai pihak, Isa mengundurkan diri dan berhenti sebagai pengerusi FGV.
“Kami teruja selepas Dr Sulaiman dilantik, akan ada perubahan. Tetapi malangnya sehingga hari ini kita tak nampak perubahan drastik. Malahan krisis FGV berlanjutan sehingga hari ini dan tidak dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.
Zainuddin berkata, “legasi Isa Samad” masih ada dalam FGV dan keputusan dibuat pengerusi sebelum ini diteruskan ahli lembaga pengarah sekarang.
“Merujuk kepada kenyataan ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengarah Jasa Puad Zakarshi, seperti ada komplot untuk menjatuhkan Zakaria.
“Kami bersetuju dengan pendapat Puad itu. Seperti dikatakan Puad, Zakaria ini nak dijadikan kambing hitam untuk disabitkan dengan beberapa kesalahan,” katanya.
Zainuddin turut mempersoalkan integriti lembaga pengarah FGV. Katanya, baru-baru ini Felda menghantar dua wakil untuk menjadi lembaga pengarah di FGV.
“Kami dapat maklumat, dua lembaga pengarah FGV menawarkan diri untuk letak jawatan supaya dua wakil Felda boleh masuk.
“Apa yang berlaku, pemangku pengerusi lembaga pengarah mahu membawa masuk kembali dua orang ini,” katanya dan menambah dua orang ini rapat dengan Isa.
Beliau berkata, sekiranya FGV tidak menyelesaikan masalah integriti, pelabur-pelabur tidak akan berminat untuk melabur ke dalam syarikat itu lagi. – 24 Julai, 2017.