Pemimpin BN juga sokong Taman Rimba Kiara dipelihara, kata Hannah Yeoh
Iklan
PEMIMPIN Barisan Nasional (BN) yang menggunakan Taman Rimba Kiara turut menyokong langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memelihara dan melindungi taman itu dari sebarang pembangunan, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.
Menurut Yeoh, langkah untuk memelihara taman itu termaktub dalam janji pilihan raya PH dan ramai pemimpin gabungan itu menyertai bantahan yang sebelum ini diadakan.
“Malah ahli politik BN yang menggunakan taman ini juga menyokong kami. Jadi, ada ramai orang yang mahu Taman Rimba Kiara ini dipelihara,” kata Yeoh kepada pemberita pada acara berkelah bersama penduduk tempatan hari ini.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya mengemas kini proses siasatan mereka terhadap laporan polis yang dibuat terhadap bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pada 16 Mei lalu, Yeoh membuat laporan dengan SPRM terhadap pemilik tanah, Yayasan Wilayah Persekutuan, yang dipengerusikan oleh Tengku Adnan berkenaan cadangan pembinaan kondominium di atas tanah terbabit.
“Jadi, saya nak tahu mengenai statusnya. SPRM, tolong jangan hanya fokus kepada siasatan 1MDB saja.
“Ada urusniaga yang sangat penting sebelum ini, terutamanya untuk Wilayah Persekutuan,” tambah timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu. – 4 Ogos, 2018.