Putrajaya siasat kemungkinan gangguan seksual di hospital disembunyikan
Iklan
PUTRAJAYA akan menyiasat mereka yang cuba menyembunyikan dakwaan gangguan seksual di sebuah hospital di Lembah Klang.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata ini kerana tiada tindakan yang diambil meskipun mangsa sudah membuat laporan.
“Ini tentang siapa yang menyembunyikannya kerana menurut mangsa mereka sudah melaporkan kepada pihak berkuasa tetapi tiada tindakan (diambil). Jadi sekarang kita sedang siasat,” Yeoh memberitahu pemberita selepas majlis di Taman Rimba Kiara, Kuala lumpur hari ini.
Pada 29 Julai, The Star mendedahkan dalam laporannya bahawa seorang doktor kanan yang berkhidmat di sebuah hospital kerajaan sekitar Lembah Klang didapati melakukan gangguan seksual ke atas beberapa doktor pelatih wanita.
Doktor kanan itu juga sudah diarahkan supaya bercuti susulan pendedahan lanjut akhbar tersebut mengenai dakwaan salah laku berkenaan.
Yeoh berkata undang-undang mengenai gangguan seksual perlu diadakan.
Berkenaan had umur berkahwin yang dibenarkan, beliau berkata Putrajaya komited untuk menaikkan had umur bagi lelaki dan perempuan Islam daripada 16 ke 18 tahun.
Yeoh juga memuji kerajaan Selangor kerana menaikkan had umur minimum berkahwin. – 4 Ogos, 2018.