Akta kesaksamaan jantina untuk tangani diskriminasi, kata Hannah Yeoh
Iklan
UNDANG-UNDANG kesaksanaan jantina Malaysia akan memasukkan peruntukan anti-diskriminasi, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh hari ini.
“Kesaksamaan jantina bukan hanya mengenai kesamaan jantina sahaja tetapi kita juga melihat perkara berkaitan anti-diskriminasi.
“Bukan hanya pada jantina, tetapi diskriminasi orang atas alasan lain. Kami sedang mengkaji untuk menggabungkannya,” kata ahli Parlimen Segambut itu memberitahu media selepas majlis di Taman Bukit Kiara di Kuala Lumpur hari ini.
Pihak berkuasa agama juga akan dirujuk mengenai kesaksamaan jantina, katanya.
“Kami melakukan perundingan dan langkah seterusnya adalah untuk berunding dengan pihak berkuasa agama kerana ada amalan budaya tertentu di Malaysia yang (mungkin dilihat) tidak adil,” kata Yeoh.
Ditanya mengenai garis masa kerajaan untuk melaksanakan akta kesamaan jantina, beliau berkata tiada tetapi menambah kementerian sedang berusaha ke arah itu.
Yeoh baru-baru ini berkata ketua-ketua jabatan kerajaan perlu menghadiri kursus kepekaan jantina sebagai sebahagian daripada usaha untuk menangani diskriminasi dan gangguan seksual di tempat kerja.
Beliau berkata isu itu perlu ditangani melalui pendidikan dan bukan hanya melalui undang-undang.
Beliau menambah langkah itu juga untuk memastikan kementerian tidak akan mengabaikan kes-kes yang berlaku di tempat kerja.
Ini susulan berita mengenai dakwaan penutupan kes gangguan seksual di sebuah hospital kerajaan yang melibatkan ketua jabatan terhadap kakitangan wanita bawahannya. – 4 Ogos, 2018.