Iklan

RM18 bilion duit GST tak mungkin hilang, kata Zahid

Umno zahid hamidi 270718 tmiseth 01 (1)
Ketua Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi menggesa Putrajaya menyelesaikan hal berkenaan dan tidak menunding jari mencari kesalahan pihak-pihak tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2018.
Iklan

KETUA Pembangkang Ahmad Zahid Hamidi berkata mustahil duit Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM18 bilion hilang kerana hasil kutipan cukai yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu dimasukkan ke dalam akaun kumpulan wang disatukan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, duit berkenaan mungkin dibelanjakan untuk projek-projek tertentu.

“Saya tidak fikir ianya hilang kerana ia masuk ke dalam akaun yang disatukan, ‘consolidated account’, maka wang itu harus dilihat berada di dalam kumpulan dana yang disatukan.

“Maka jika wang itu dibelanjakan untuk tujuan yang tidak mematuhi peraturan maka barulah itu namanya kecurian,” katanya, kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu beliau menggesa Putrajaya menyelesaikan hal berkenaan dan tidak menunding jari mencari kesalahan pihak-pihak tertentu.

“Jalan terbaik ialah menyelesaikan bukan memainkan peranan sebagai ‘blame game’...jika itu merupakan satu pendekatan baru yang akan diambil melalui pengenalan dan pelaksanaan SST (cukai jualan dan cukai perkhidmatan), maka kerajaan yang ada sekarang ini harus mengambil tanggungjawab menyelesaikan permasalahan itu,” katanya.

Presiden Umno itu juga menasihati kerajaan supaya tidak bersikap sebagai pembangkang.

“Saya fikir sikap sebagai kerajaan lebih penting daripada sikap ‘blame game’ seolah-olah mereka masih lagi sebagai pembangkang. 

“Kalau mereka tidak boleh menyelesaikan masalah itu serahkan pada kami sebagai kerajaan, kami akan selesaikan dan mencari jalan untuk menyelesaikan,” katanya lagi.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam dilaporkan mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ‘merompak’ bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM18 bilion.

Lim membuat tuduhan itu pada sesi membentangkan Rang Undang-Undang GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion dan mengikut rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia terdapat kira-kira RM18 bilion yang belum dibayar.

Susulan kenyataannya itu, Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini membuat laporan polis dan menggesa siasatan dilakukan segera. – 9 Ogos, 2018.

 


 

Iklan
Iklan