Iklan

Ia perlukan lebih dari sekadar tandatangan untuk banteras rasuah

The Malaysian Insight7 years ago25th Jul 2017Editorial
Iklan

ANGGOTA polis kita memakai lencana “Saya Anti Rasuah”, jutaan ringgit dibelanjakan untuk institut integriti nasional dan kerajaan negeri serta jabatan kerajaan menandatangani ikrar anti-rasuah.

Ya, kita suka apa yang Malaysia lakukan. Kita suka meletakkan diri kita dalam isyarat simbolik dan melaungkan pelbagai ikrar tapi realitinya, kita tiada keinginan untuk membanteras rasuah.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri perlu menandatangani ikrar anti-rasuah.

“Kementerian Dalam Negeri sangat sensitif dengan isu ini kerana kita berdepan secara terus dengan masyarakat. Polis Diraja Malaysia misalnya, berada di barisan hadapan untuk menjaga keselamatan, pastinya terdedah dengan sogokan dan rasuah.

“Rasuah berlaku dalam sektor awam dan swasta apabila hendak percepatkan proses, mengelakkan saman atau hukuman berat atau mahu sesuatu diluluskan.

“Sekiranya kita negara kita benar-benar membangun, menolak dan membanteras rasuah perlu menjadi budaya dalam kalangan penjawat awam,” kata timbalan perdana menteri pada perhimpunan bulanan kementerian itu di Putrajaya hari ini.

Sekarang apa lagi? Adakah polis dan pegawai imigresen akan berubah menjadi malaikat dalam satu malam hanya kerana tandatangan pada sekeping kertas?

Adakah “duit kopi” akan hilang serta merta? Begitu sahaja selepas ikrar ditandatangani?

Realitinya adalah ia hanyalah salah satu kempen daripada barisan kempen mahal lain sejak beberapa tahun yang dijalankan untuk membanteras rasuah.

Mac lalu Melaka menandatangani ikrar anti-rasuah. Dua bulan selepas itu, bekas pegawai khas datuk bandar Melaka didakwa atas 15 pertuduhan rasuah.

Adakah ikrar itu benar-benar berkesan? Adakah ini sebab mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu kerajaan Pulau Pinang menandatangani ikrar itu? Kerana ia pasti berkesan?

Menghapuskan rasuah bukan hanya menandatangani ikrar semata-mata. Ia juga perlu melangkaui integriti atau mana-mana idea lain yang memerlukan kerjasama awam.

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016 yang dipantau badan pemerhati anti-rasuah Transparency International (TI) jatuh satu anak tangga.

Apa yang perlu sekarang adalah lebih daripada sekadar menandatangani ikrar dan memakai lencana. Ia memerlukan tindakan dan komitmen untuk menghapuskan rasuah dan pelakunya – tanpa mengira setinggi mana status seseorang itu dalam masyarakat. – 25 Julai, 2017.

Iklan
Iklan