MCA guna logo sendiri tanding PRK Balakong
Iklan
PARTI komponen Barisan Nasional (BN), MCA akan menggunakan logo sendiri dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 September.
Presidennya Liow Tiong Lai berkata, jawatankuasa pusat parti itu telah membuat keputusan untuk menentukan halu tuju sendiri dalam pilihan raya tersebut.
“Selepas perubahan kerajaan, dan berdepan dengan aturan politik baru sebagai parti pembangkang, MCA harus meninggalkan segala beban dan tugas politik bersejarah, dan menghadapi pilihan raya itu menggunakan logonya sendiri,” kata Liow pada sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Liow berkata beliau akan memaklumkan parti komponen BN yang lain berhubung keputusan tersebut.
BN kini terdiri daripada MCA, MIC dan Umno selepas 10 parti komponen lain meninggalkan gabungan itu selepas ia mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Kami menghadapi rintangan serius dalam pilihan raya umum lalu dan kami fikir sudah tiba masanya untuk kami menyusun semula peranan politik kami sendiri.
“Kami kini parti pembangkang, kami harus melepaskan beban sejarah dan memulakan perjalanan baharu,” tambahnya.
Liow berkata parti itu mempunyai senarai pendek calon untuk PRK berkenaan dan ia akan diumumkan oleh timbalan presiden Dr Wee Ka Siong.
Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng akibat kemalangan pada 20 Julai lalu.
“Dalam banyak perbincangan dari peringkat pusat hingga bahagian dan cawangan, sambutan terhadap penggunaan logo parti sendiri amat menggalakkan dan berkesan.
“Ini selari dengan sentimen umum dalam kalangan ahli MCA di seluruh negara yang mahukan parti menggunakan identiti baru dan mengembalikan semula maruahnya.
“Ini adalah keputusan betul bagi MCA dalam halu tuju baharu itu,” tambah Liow.
Beliau berkata, naib presiden Chew Mei Fun akan menjadi pengarah PRK Balakong.
Ketika ditanya sama ada parti komponen BN sudah membuat perbincangan mengenai kemungkinan pengantungan sementara gabungan itu, Liow menjawab tidak.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa sebelum ini berkata BN perlu digantung buat sementara waktu untuk meneroka kemungkinan menjalin kerjasama politik lain. – 10 Ogos, 2018.