Iklan

Hutang 1MDB hampir sama tunggakan bayaran balik pinjaman PTPTN

Asila Jalil6 years ago11th Aug 2018Berita
Mahathir mohamad tmi 03
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hadir menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia XII di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 11 Ogos, 2018.
Iklan

JUMLAH hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hampir sama dengan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata hutang tunggakan pembayaran semula tabung itu ketika ini ialah sebanyak RM39 bilion dan jumlahnya hampir sama dengan hutang dibuat oleh syarikat pelaburan negara itu.

Bercakap pada perhimpunan pelajar di Sidang Kemuncak Pelajar Malaysia XII di Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir bagaimanapun tidak memberikan jumlah sebenar hutang 1MDB.

Tetapi, dilaporkan syarikat pelaburan negara itu memerlukan anggaran RM42 bilion untuk melangsaikan hutan dan faedah daripada pinjamannya yang perlu diselesaikan bagi tempoh November 2015 dan Mei 2039, menurut Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB.

“Anda tahu berapa banyak duit hutang peminjam PTPTN? Ia hampir sama dengan jumlah duit yang hilang melalui 1MDB, RM39 bilion.

“Itulah jumlah duit rakyat yang tak bayar kerajaan untuk duit yang kerajaan belanjakan kepada anda untuk pendidikan yang lebih baik seterusnya dapat peluang lebih baik untuk pekerjaan dan kehidupan lebih baik,” tambahnya.

Katanya, peminjam yang tidak membayar pinjaman mereka akan berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman kewangan lain di masa depan.

Dr Mahathir berkata seseorang perlu menyemai sikap membayar balik hutang walaupun terpaksa bergelut dan berkorban kerana itu sikap yang dihormati.

“Memalukan bila tak bayar hutang.

“Pastinya dalam mana-mana masyarakat perlu ada pemimpin. Pemimpin perlu tunjuk tauladan terbaik. Jika tidak, pengikut pun akan sama buruk atau lebih teruk lagi,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir menambah seseorang perlu bekerja keras dan membina nilai yang baik, memberikan contoh Jepun sebagai salah satu negara yang mempunyai rakyat bekerja keras.

“Anda perlu bangunkan sistem nilai yang mengagumi dan memandang tinggi mereka yang bekerja keras.

“Saya bukan cuba puji diri sendiri tetapi anda sendiri lihat saya bekerja keras, jadi saya sebenarnya sedang puji diri sendiri,” katanya bergurau mengundang gelak ketawa dan tepukan gemuruh hadirin. – 11 Ogos, 2018.

Iklan
Iklan